TANJUNG MALIM – Kegembiraan 19 individu termasuk tujuh kanak-kanak bercuti di Risda Eco Park, Kampung Ulu Slim, bertukar tragedi selepas terperangkap dalam insiden kepala air ekoran empangan pecah petang semalam.
Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu, bukan sahaja memusnahkan khemah yang didiri malah juga menghanyutkan segala kelengkapan yang dibawa tanpa sempat diselamatkan.
Bagi Syis Abdul Kadir, 35, insiden berkenaan meninggalkan kesan kepada diri serta isteri dan dua anaknya yang terperangkap lebih 17 jam sementara menunggu diselamatkan pasukan keselamatan.
Guru yang berasal dari Sabak Bernam itu, turut berkongsi detik getir apabila arus deras yang membawa lumpur serta kayu menumbangkan sebatang pokok besar sebelum menuju ke arah lokasi mereka berlindung.
“Kami sekeluarga dari Sabak Bernam tiba di sini pada jam 3 petang, masa itu air sungai sangat jernih lalu saya mula mendirikan khemah dan selesai semua jam 6 petang.
“Dalam jam 6.30 petang tiba-tiba air jadi sangat keruh dan kemudian dalam sekelip mata kawasan kami dinaiki air hingga memaksa kami berlari ke dewan memandangkan lokasinya di kawasan tinggi.
“Saya kemudian berlari ke belakang pentas untuk melaungkan azan tapi tiba-tiba air deras menumbangkan pokok besar dan kemudian menuju dengan laju ke arah kami, tetapi Alhamdulillah kami sempat menyelamatkan diri,” katanya selepas diselamatkan.
Tambah Syis, dia sering membawa keluarga berkhemah sebulan sekali, namun tidak pernah berhadapan dengan insiden menggetirkan seperti itu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Prof Madya Dr Ibrahim Abu Bakar berkata, kejadian yang berlaku tidak sampai dua minit itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya.
Ujar Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kuantan, Pahang itu, ia merupakan kali kedua dia bersama keluarganya berkhemah di Risda Eco Park dan berhadapan situasi kepala air.
“Kami sudah merancang hampir setahun untuk mengadakan hari keluarga di sini, malah turut melihat ramalam cuaca tetapi apakan daya semua itu ketentuan Allah dan kami diberi ujian seperti ini.
“Mudah-mudahan kami mendapat pengajaran dan Allah S.W.T. masih selamatkan kami dan InsyaAllah kami berazam untuk meneruskan kehidupan dengan baik dan menjaga keluarga,” katanya.
Ketika diminta menceritakan detik beliau dibawa keluar pasukan penyelamat Ibrahim berkata, arus deras serta terlanggar batu menyebabkan dia hampir tenggelam dua kali.
“Pada mulanya saya rasa boleh lakukan kerana biasa buat abseiling tapi tadi tidak tahu macam mana dua kali tenggelam, mungkin sebab kaki langgar batu.
“Alhamdulillah dengan kecekapan pasukan penyelamat saya selamat di bawa ke seberang dan dapat bersama ahli keluarga yang menanti,” katanya.
Terdahulu MG Perak melaporkan kesemua 21 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak yang terperangkap di Risda Eco Park, Kampung Ulu Slim, akibat kejadian kepala air dan muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting pecah dekat sini, berjaya dibawa keluar.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Khairil Adli Zakaria berkata, operasi menyelamat dimulakan pada jam 8 pagi dan berakhir sekitar jam 12 tengah hari.
“Kita menggunakan kaedah merentasi sungai menggunakan teknik penyelamatan high line untuk membawa mangsa dari kawasan penginapan ke kawasan yang selamat di seberang sungai,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
21 mangsa terperangkap di Risda Eco Park berjaya diselamatkan