IPOH – Kerajaan Negeri Perak komited memperkukuhkan peranan ibu sebagai pemimpin keluarga kerana kepimpinan mereka diyakini menjadi faktor utama dalam membentuk motivasi serta kejayaan anak-anak.
Sehubungan itu, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan kajian bertajuk Kajian Pengaruh Kepimpinan Ibu Terhadap Motivasi Belajar Anak-anak di Perak: Penghargaan Kendiri Ibu Sebagai Mediator yang diketuai Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr Aziah Ismail bersama empat penyelidik lain.
Menurutnya, kajian tersebut menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk tinjauan soal selidik melibatkan seramai 444 pasangan ibu dan anak sebagai responden.
“Ia dilakukan melalui kaedah pensampelan bertujuan mewakili pelbagai latar belakang sosioekonomi dan mengikut lokaliti iaitu bandar, luar bandar, pedalaman, sekolah Orang Asli dan kawasan Felda,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu pembentangan hasil kajian di Dewan Auditorium Aras 5, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kajian tersebut mendedahkan beberapa dapatan penting, antaranya tahap kepimpinan ibu di Perak, perbezaan persepsi antara ibu dan anak, pengaruh faktor demografi, pendekatan pengurusan anak serta cabaran yang dihadapi ibu dalam kepimpinan keluarga.
“Secara keseluruhan, ibu di Perak mengamalkan gaya kepimpinan transformasional dan transaksional pada tahap tinggi.
“Mereka memberi motivasi, inspirasi serta menetapkan hala tuju jelas kepada anak-anak selain menggunakan sistem ganjaran bagi memastikan pencapaian akademik,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga kecenderungan sederhana terhadap gaya kepimpinan penghindar pasif, iaitu sebahagian ibu cenderung mengelak daripada membuat keputusan atau menangguhkan tindakan sehingga masalah menjadi lebih serius.
“Bagi memperkasa kepimpinan ibu, beberapa langkah boleh diambil termasuk penganjuran program latihan kepimpinan keibuan dengan penekanan kepada gaya transformasional dan transaksional, selain sesi bimbingan berstruktur bagi ibu yang kurang yakin dalam membuat keputusan.
“Kajian itu turut mendapati wujud sedikit jurang antara penilaian ibu terhadap kepimpinan mereka dengan pandangan anak-anak.
“Anak-anak menilai ibu mereka sebagai pemimpin yang baik namun merasakan kurangnya pertimbangan individu dalam kepimpinan tersebut. Ini menunjukkan ibu perlu lebih peka terhadap keunikan serta keperluan setiap anak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kajian tersebut mencadangkan pelaksanaan bengkel komunikasi ibu-anak bagi memperkukuhkan kefahaman serta program sokongan psikologi untuk menyesuaikan gaya kepimpinan ibu agar lebih responsif terhadap keperluan anak-anak.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kajian yang dibiayai oleh kerajaan negeri melalui Wanita Perak antara yang pertama seumpamanya dijalankan di negeri ini serta jarang dilakukan di peringkat nasional.
Beliau turut menegaskan, hasil kajian ini bukan sahaja akan dijadikan panduan oleh kerajaan negeri dalam merangka program, malah turut dibuka untuk diguna pakai oleh pelbagai pihak pada masa akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dewan Belia Perak ‘Jambatan Emas’ aspirasi anak muda