IPOH – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 238 orang penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tahun ini.
Shamsul Azri, 56, yang menggalas tugas Ketua Setiausaha Negara bermula Ogos tahun lalu menjadi penerima tunggal Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, sementara Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang juga membawa gelaran Datuk Seri turut dianugerahkan kepada tiga penerima.
Katanya, mereka adalah Yang Di Pertua Dewan Negeri Perak; Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Peguam Cara Negara II; Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Orang Besar Negeri Perak, Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan.
“Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima dianugerahkan kepada dua orang penerima iaitu Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
“Sementara Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk pula diberikan kepada seorang penerima iaitu Ketua Pengarah Kerja Raya; Datuk Seri Roslan Ismail,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayob Hashim serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mohd Zahidi memberitahu, seramai 17 individu menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk dua Exco Perak, A Sivanesan dan Khairudin Abu Hanipah serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon.
Sementara itu kata beliau, seramai enam individu menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada Pakar Bedah Mulut Maksilofasial Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dr. Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal dan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brigedier Jeneral Fazillah Ibrahim.
Turut menerima, Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Gombak, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun; Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pangkalan Udara Subang, Mejar Jeneral Ramli Mohd Abd Jabar; Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Senior Asisten Komisioner (SAC) Hishammudin Mohd Amin serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Sultan Perak, Brigedier Jeneral Norzahari Efandy Zakaria.
Mohd Zahidi berkata, seramai 29 individu akan menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (14); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (14); dan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (39).
Kata beliau, Sultan Nazrin juga berkenan untuk menganugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 58 orang penerima; Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (46) serta Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) (sembilan).
“Sultan Perak telah berkenan mengurniakan Darjah PMP secara anumerta kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Baginda juga telah berkenan mengurniakan pingat kepada pemain badminton beregu campuran negara yang telah berjaya menjuarai Kejohanan Dunia di Paris dengan PPT iaitu Chen Tang Jie serta Toh Ee Wei,” ujar beliau.
Tambah Mohd Zahidi, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan sebanyak dua sesi iaitu pada 9 dan 15 November dengan masing-masing berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Kata beliau lagi, sempena ulang tahun keputeraan ke-69, Sultan Nazrin juga berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari kepada 9,900 orang banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Koreksional Batu Gajah pada pada 7 November.
“Sambutan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yassin dan doa selamat yang akan diadakan bertempat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada Jumaat. Majlis sama turut diadakan di semua masjid di seluruh negeri.
“Rakyat Perak adalah diseru untuk turut meraikan dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional


