Keputeraan Sultan Perak: Sultan Nazrin kekal dengan sifat rahmah mesra

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kekal dengan sifat ramah mesra baginda bersama rakyat daripada kalangan pelbagai latar belakang meskipun berdepan dengan insiden cubaan serangan pada 31 Ogos lalu.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, dalam mana-mana acara rasmi yang dihadiri baginda selepas daripada insiden berkenaan, Sultan Nazrin masih berkenan untuk mendekati rakyat khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru katanya, orang ramai tidak akan mempunyai masalah sekiranya ingin memohon perkenan untuk mendekati mahupun bergambar dengan baginda seperti lazimnya semasa acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah termasuk yang akan diadakan pada 16 November nanti.

“Jika ia dilakukan secara teratur dengan sempurna, sudah pasti tuanku sama sekali tidak akan menjauhkan diri apabila dimohon perkenan dijemput untuk bergambar.

“Tambahan pula sekiranya ada dalam kalangan kanak-kanak yang memohon untuk mendekati baginda ataupun Raja Permaisuri Perak (Tuanku Zara Salim). Baginda berdua memang gemar akan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayob Hashim serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pada 8 September seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di sini, 31 Ogos lalu.

Menurut Mohd Zahidi, susulan insiden itu juga kawalan keselamatan acara rasmi melibatkan Sultan Perak kini dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Tambah beliau, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan selepas insiden itu bagi menyelaras dan memperkemas tatacara keselamatan istana, termasuk melibatkan anggota keselamatan serta pasukan protokol.

Mengimbas kembali detik kejadian, Mohd Zahidi berkata, beliau sendiri berada berhampiran pentas utama ketika insiden tersebut dan bertindak pantas demi keselamatan baginda.

“Pada ketika itu lagu Kebesaran Negeri Perak sedang dimainkan, namun dalam keadaan kelam-kabut, Tuanku tetap berdiri tegak memberi penghormatan. Ini menunjukkan betapa jelas dan tenangnya fikiran baginda walaupun situasi sedang tegang,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Perak:

Wanita naik pentas dekati Sultan Perak dirujuk ke HBUK

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI