IPOH – Kerajaan perlu berbelanja secara bijak dan berhemat bagi menangani peningkatan perbelanjaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan perlu memastikan tiada pembaziran berlaku kerana ia melibatkan wang rakyat.
Beliau turut memberikan contoh berhubung kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 bilion.
“Untuk tahun depan naik gaji. Bukan gaji, naik punya. Naik dia berapa? Seluruh negara ni RM10 bilion untuk 2025.
“Nak cari mana? Sebab itu kita kena jaga. Cermat sebab wang ini wang rakyat. Jaga, jangan bagi orang curi duit.
“Jangan ada amalan-amalan ambil komisen, ambil rasuah, beli harta di London, beli harta di Vancouver, beli harta di New York,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa pentadbiran kerajaan Madani bagi tempoh dua tahun ini berada dalam kerangka yang betul apabila menekankan soal kepimpinan bagi menjamin tatakelola negara yang baik.
“Dari kerangka awal, saya tekankan yang perlu kita betulkan itu adalah pimpinannya. Dulu bukan sikit-sikit wang, puluh-puluh bilion punya cerita, yang hilang dan songlap pun banyak juga, sebab itu kita, macam mana pun, dari segi akhlak dan adab kalangan pemimpin itu diperlukan untuk atur negara,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Mahabbah dan Kenduri Rakyat di Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin (PPIT) Tanah Hitam, Chemor di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penaung PPIT, Datuk Dr Fadzilah Kamsah.
Dalam pada itu, Anwar meminta supaya rakyat bersama-sama menjalankan tanggungjawab membangun dan mengimarahkan institusi kerohanian seperti masjid dan pusat pengajian agama serta tidak semata-mata meletakkan tanggungjawab itu ke atas kerajaan sahaja.
Katanya, pembinaan dan pengimarahan masjid seharusnya menjadi tanggungjawab semua seperti tradisi yang diajarkan Islam bahawa petunjuk diberikan kepada mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah SWT dengan tetap mengerjakan solat serta menunaikan zakat.
Tambahnya, martabat umat Islam boleh diangkat apabila tanggungjawab membangun dan mengimarahkan institusi agama dimainkan semua pihak, termasuk menerusi sumbangan ke tabung masjid pada setiap Jumaat sewaktu sesi solat Jumaat berlangsung.
“Dalam kerajaan kena ada jabatan begitu, di sekolah begitu, baru boleh kita angkat martabat umat (Islam). Bagi saya ikhtiar yang saudara-saudara lakukan ini sangat bermakna kerana bukan sahaja hanya bergantung (tetapi) semuanya beri sumbangan.
“Seperti hari Jumaat hari ini kita ke masjid, bina masjid itu pun menjadi tanggungjawab semua. Sesetengah orang dia salah faham dengan dia ingat semua ini dari segi peruntukan (kerajaan).
“Namun, mesti ada paling kurang seringgit (RM1), mesti ada saham dia untuk membina kepada masjid. Maknanya, mengimarahkan atau membangun masjid itu tanggungjawab semua,” ujarnya.
Pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi pembangunan pusat pengajian Islam tersebut.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk di kawasan tersebut yang mengambil ikhtiar sendiri menggunakan tanah wakaf dengan membangunkan pusat pengajian ini.– MG Perak
Artikel Berkaitan:
RCI Batu Puteh dedah kelemahan pendendalian isu, wujud unsur pengkhianatan – PM Anwar