Kerajaan berhasrat kurangkan kebergantungan import koko

BAGAN DATUK – Kementerian Perladangan dan Komoditi berhasrat mengurangkan kebergantungan import koko negara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, kata menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut Johari, pada tahun lalu negara hanya menghasilkan 270 tan biji koko namun sebaliknya mengimport kira-kira 530,000 tan biji koko dengan nilai mencecah RM7.8 billion.

Jelas beliau, sekiranya kebergantungan import koko dikurangkan perbelanjaan tersebut dapat digunakan bagi membantu pekebun tempatan dan sekali gus merancakkan kembali tanaman tersebut di negara ini.

“Satu masa dahulu kita pernah mengeksport biji koko sebanyak 300,000 tan metrik sehingga banyak syarikat luar datang ke negara ini dan membuka kilang namun kini kita terpaksa mengimport biji koko dengan nilai RM7.8 billion (2023).

“Kerana itu kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi melihat semula 10 hingga 15 tahun akan datang negara tidak lagi menggunakan duit membeli biji koko dari luar.

“Saya juga akan memberi lebih tumpuan kepada koko supaya dalam masa panjang dapat kurangkan import selain menambah kembali eksport produk-produk berasaskan koko ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Lembaga Koko Malaysia (LKM) Bagan Datuk 2024 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Bagan Datuk, di sini, pada Khamis.

Tambah Johari, beliau turut melihat potensi koko sebagai salah satu strategi keterjaminan makanan sama seperti tanaman kelapa sawit.

Sementara itu, ketika ditanya perancangan kementerian dalam memastikan kebergantungan import koko dapat dikurangkan, Johari berkata, ia akan direalisasikan melalui peranan LKM.

“Kerana itu, kita mempunyai Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang merupakan agensi khusus untuk koko dan saya melihat potensi besar yang ada untuk tanaman ini.

“Kerajaan melalui LKM juga perlu memberi lebih banyak penerangan kepada petani-petani yang mengusahakan tanaman berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, buat masa ini terdapat kira-kira 6,000 hektar kawasan tanaman koko di seluruh negara dan pihaknya akan terus menggalakkan pembukaan kawasan baharu tanaman tersebut.

“Kita juga akan memperbanyakkan aktiviti tanaman seperti memperkenalkan benih-benih yang berkualiti serta tanaman yang sistematik mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Selain itu, mana-mana tanah yang kosong juga boleh digunakan untuk mengusahakan tanaman koko,” katanya.

Pada majlis sama, Johari turut melancarkan bar coklat asal Bagan Datuk iaitu Coklat Single Origin yang memberi pilihan kepada pengguna di pasaran tidak lama lagi. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI