Kerajaan dalam proses rangka Transformasi Pusat Transplan Nasional – Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merangka transformasi National Transplant Resource Centre (NTRC) kepada National Transplant Centre (NTC) bagi memperkukuh tadbir urus serta mempercepatkan inovasi dalam perkhidmatan pendermaan dan transplan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan kapasiti negara dalam menguruskan sistem transplan agar lebih cekap dan berkesan.

“Transformasi ini akan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kapasiti, serta mempercepatkan inovasi dalam perkhidmatan pendermaan dan transplan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Menurutnya, Malaysia masih berdepan dengan jurang besar dalam isu pendermaan organ.

Sehingga Julai 2025, terdapat lebih 10,000 pesakit buah pinggang menunggu transplan, selain pesakit hati, jantung dan paru-paru.

Namun jumlah penderma selepas kematian masih kecil, iaitu hanya 46 kes atau 1.33 penderma per sejuta penduduk, menurut laporan IRODAT 2024.

Walau bagaimanapun, Dzulkefly menegaskan terdapat perkembangan positif yang boleh dibanggakan.

“Sejak 1997 hingga Julai 2025, lebih 400,000 rakyat Malaysia telah berikrar sebagai penderma organ termasuk lebih 16,000 pengikrar baharu tahun ini melalui modul Organ Donor Pledge di platform MySejahtera.

“Hasilnya, lebih 3,300 transplan berjaya dilaksanakan setakat ini, iaitu 1,121 kadaverik dan 2,238 daripada penderma hidup. Angka-angka ini membawa sejuta harapan, namun juga mengingatkan kita perjalanan masih jauh,” katanya.

Dalam aspek pendermaan tisu pula, hampir 200 kes direkodkan pada 2024 melibatkan kornea, injap jantung dan lain-lain.

Sebanyak 74 peratus transplan kornea kini menggunakan tisu yang didermakan oleh rakyat Malaysia sendiri, menandakan negara tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber luar.

Pada peringkat global, Dzulkefly berkata, usaha Malaysia selari dengan kerangka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekankan tadbir urus baik, keselamatan pesakit serta keadilan dalam akses transplan.

Beliau menambah, Malaysia menyokong resolusi di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) yang menyeru negara anggota memperkukuh sistem pendermaan dan transplan berasaskan prinsip etika, ketelusan dan keberkesanan.

Katanya lagi, menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN Health Ministers’ Meeting (AHMM) 2026, negara berpeluang membawa agenda pendermaan organ dan transplan sebagai sebahagian daripada kerjasama kesihatan ASEAN, sekali gus menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam kesihatan global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI