KUALA LUMPUR – Kerajaan berada di peringkat akhir persediaan untuk menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) di peringkat Persekutuan bagi memperkukuh penyelarasan, kecekapan serta profesionalisme pendakwaan syariah di seluruh negara tanpa menjejaskan kuasa dan autonomi negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini kerajaan sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum cadangan itu dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya ke Majlis Raja-Raja.
Menurut beliau, penubuhan abatan Pendakwaan Syariah Malaysia bertujuan memastikan keseragaman gerak kerja pendakwaan syariah di peringkat nasional, khususnya dalam aspek perundangan jenayah syariah, pentadbiran, latihan, kompetensi serta profesionalisme.
“Penubuhan JPSM ini tidak akan menghakis kuasa perundangan negeri seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya berfungsi sebagai entiti rujukan dan penyelaras di peringkat Persekutuan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membincangkan isu-isu teknikal berkaitan cadangan penubuhan JPSM secara lebih terperinci.
Dr. Zulkifli berkata demikian menjawab pertanyaan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berhubung status Pelan Kecekapan Pendakwaan Syariah Nasional (PKPSN) serta kesediaan kerajaan menggubal Akta Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan bagi memperkukuh kedudukan fungsi pendakwaan Islam.
Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ini semua negeri kecuali Sabah telah mengasingkan sepenuhnya fungsi pendakwaan syariah daripada Jabatan Agama Islam Negeri.
“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan bersama jabatan pendakwaan syariah negeri-negeri telah mengadakan persidangan meja bulat melibatkan pihak berkuasa agama negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan cadangan penubuhan JPSM,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan berkaitan isu tunggakan kes syariah, beliau berkata, prestasi Mahkamah Syariah menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan kadar penyelesaian kes, khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Bagi tempoh 2019 hingga 2025, sebanyak 9,387 kes direkodkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan 858 kes di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997, dengan banyak kes berjaya diselesaikan dalam tempoh lebih singkat,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan JPSM juga akan berperanan sebagai pusat pemusatan data dan statistik pendakwaan syariah di peringkat nasional, selain menyelaras tatacara pendakwaan serta menggubal arahan amalan Ketua Pendakwa Syarie bagi mengurangkan isu tunggakan kes.
Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Dr. Zulkifli berkata, majoriti kerajaan negeri secara prinsip bersetuju dengan penubuhan JPSM hasil sesi libat urus yang telah dijalankan.
“Kebanyakan negeri telah memberikan maklum balas bertulis dan secara prinsipnya bersetuju, namun pelaksanaan perlu diperincikan bagi memastikan manfaat bersama serta menjamin kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi pendakwaan syariah,” katanya. – MalaysiaGazette


