PUTRAJAYA – Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendakwa wujud rasuah politik selepas kerajaan menerima Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam dasar pendidikan negara secara diam-diam, bulan lalu.
Pengerusinya, Syed Hassan Syed Ali berkata, beliau difahamkan berlaku rundingan antara Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 26 Januari lalu
“Ini adalah rasuah politik nama dia, perkara yang tak boleh diterima, kerana demi kepentingan kuasa untuk bertahan.
“Ini rasuah politik menjijikkan, sungguh memalukan, seorang pemimpin yang dikatakan dulu hebat dalam mempertahankan kepentingan Melayu, bahasa Melayu, tapi tunduk tekanan politik DAP,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Syed Hassan bersama beberapa pemimpin NGO menyerahkan memorandum bantahan UEC kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Aminuddin Hassim di lobi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Turut hadir, Naib Presiden Ummah, Hishammudin Abu Bakar dan Pengerusi Negarawati Tanah Air, Bibi Sunita Sakandar Khan.
Syed Hassan juga mendakwa, Dong Zong menerima dua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk bahasa Melayu dan sejarah, namun hanya dikeluarkan dalam bentuk slip peperiksaan sahaja.
“Saya difahamkan dua mata pelajaran sahaja untuk kertas SPM dibenarkan Dong Zong untuk sekolah menengah swasta Cina yang ambil UEC untuk bahasa Melayu dan sejarah, tak perlu enam subjek.
“Tapi ditekankan oleh pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan bahawa ini tidak boleh diterima dan dua mata pelajaran ini hanya diberi slip (keputusan peperiksaan), bukannya sijil SPM.
“Tapi orang Dong Zong hanya kata tidak apa, okay sahaja. Tiba-tiba akhbar bukan Melayu (26 Januari) melaporkan kerajaan sudah terima (UEC),” katanya.
Syed Hassan turut mendesak kerajaan tidak membenarkan mata pelajaran sejarah dalam SPM diajar dalam bahasa Mandarin.
“Jangan benarkan sejarah dalam bahasa Mandarin, tak boleh diterima sama sekali, memalukan, majoriti pemimpin Melayu di Parlimen masing-masing tak berani nak bercakap, tunduk saya nak tengok.
“Sejauh mana perdana menteri boleh bertahan, kalau PM macam ini, dia jual maruah dasar negara demi politik, sangat memalukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


