IPOH – Kerajaan dalam usaha bagi meningkatkan tenaga mahir di Malaysia dengan menggalakkan industri memberi peluang pekerja mereka untuk bekerja sambil menyambung pengajian menerusi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, mengikut pengalaman dari negara industri seperti Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat banyak program TVET dilihat berjaya kerana syarikat membayar pelajar untuk belajar dan bekerja pada masa yang sama.
“Banyak program TVET berjaya di sana kerana syarikat bayar pelajar untuk belajar dan bekerja.
“Mungkin kerja dua hari, belajar tiga hari atau mungkin belajar dua minggu, kerja dua minggu tapi inilah yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan work-based learning (pembelajaran berasaskan kerja).
“Kalau kita nak ramai rakyat bekerja di sektor pembuatan kita perlu beri peluang dan memberi gaji untuk mereka belajar, jadi kita perlu paradigma baru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Perdana Kesedaran E-Invoicing dan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP) Kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Casuarina @ Meru di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Chin Tong berkata, sejak Kerajaan Perpaduan memerintah satu jawatankuasa yang dipengerusikan Ahmad Zahid diwujudkan untuk menjayakan program TVET.
“Sebelum ini tiada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengumpul dan menyelaras semua program TVET sedia ada.
“Kalau mengikuti apa yang telah disebut Ahmad Zahid, tumpuan kerajaan adalah untuk menjayakan lebih banyak program TVET dan work based learning.
“Justeru, kita mungkin dapat mewujudkan lebih ramai jurutera di sektor semikonduktor. Cuma beri lebih masa, saya rasa kita akan berjaya,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: