Kerajaan kena batalkan peluasan SST, jangan terus bebankan rakyat – DHPP

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) disifatkan sebagai langkah tidak bertanggungjawab ketika rakyat masih bergelut dengan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, L. Balasubramaniam berkata, tindakan kerajaan mengenakan cukai ke atas barangan keperluan seperti makanan, minuman serta peluasan kepada perkhidmatan digital dan logistik hanya akan menghakis pendapatan boleh guna rakyat.

Malah, katanya, ia memburukkan lagi kedudukan ekonomi rakyat pada masa kini.

“Rakyat sudah cukup terbeban dengan harga barang yang tidak menurun, pelarasan subsidi diesel yang menjejaskan perniagaan kecil dan pengangkutan.

“Tidak cukup dengan itu tambah pula dengan kadar inflasi yang terus menekan walaupun kerajaan mendakwa ekonomi sedang pulih,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Balasubramaniam berkata, pelaksanaan SST dalam bentuk baharu ini bukan sahaja menjejaskan golongan B40 malah turut menyeret kumpulan M40 ke dalam kategori miskin bandar.

“SST yang diperluas ini langsung tidak mengambil kira realiti hidup rakyat. Ia menindas semua lapisan dan kerajaan seolah-olah lebih selesa mencari hasil daripada poket rakyat daripada menangani ketirisan, pembaziran dan rasuah dalam pentadbiran sendiri,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan kerajaan sebagai tidak kreatif dalam mencari jalan keluar kepada masalah fiskal negara, sebaliknya terus menambah beban rakyat melalui dasar-dasar yang menyesakkan.

“Sepatutnya kerajaan menilai semula perbelanjaan tidak berhemah seperti saiz kabinet yang besar, lantikan politik yang tidak produktif dan ketirisan dana awam bukannya memperkenalkan cukai-cukai baharu yang menindas,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI