KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan inisiatif Sejahtera MADANI esok sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kemiskinan tegar di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pelancaran itu merupakan kesinambungan kepada komitmen kerajaan dalam memastikan kumpulan miskin tegar dan miskin, terus dibantu menerusi usaha sama kerajaan dan sektor korporat.
“Ikhtiar Menoktahkan Kemiskinan Tegar, keutamaan saya sejak awal. Hampir 150,000 isi rumah miskin tegar pada 2023 telah keluar daripada kelompok miskin tegar akhir 2024.
“Esok, saya akan meluncurkan Sejahtera MADANI iaitu ikhtiar untuk terus memastikan kumpulan miskin tegar dan miskin dibantu sewajarnya melalui usaha sama kerajaan dan sektor korporat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengumumkan penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan secara berterusan akan terus menambah baik pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban sara hidup rakyat, yang telah dilakukan sejak daripada awal pentadbiran.
Beliau berkata antara langkah signifikan yang telah dilakukan ialah peruntukan tertinggi disalurkan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu RM13 bilion, yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah.
“Peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM2.9 bilion, antaranya bagi menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan warga emas dan kanak-kanak keluarga miskin,” kata beliau.
Anwar berkata Kerajaan MADANI juga jelas membela nasib pesawah padi termasuk menaikkan Harga Lantai Belian Padi kepada RM1,500 pada 2025, selepas kenaikan pada 2022 dan 2023, selain Kadar Skim Subsidi Harga Padi juga ditingkatkan kepada RM500 pada 2023.
Dalam sektor komoditi, beliau berkata kerajaan juga menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram pada 2024, selepas kenaikan diberikan pada 2022 dan 2023.
Anwar hari ini turut mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga subsidi RON95 lebih rendah pada harga RM1.99 seliter.
Beliau berkata beberapa lagi langkah dan ikhtiar baharu akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentang Oktober ini.
“Yang ini (inisiatif diumum hari ini) sekurang-kurangnya langkah-langkah sementara, akhir 2025, insya-Allah kita akan perbaiki dengan iltizam jelas untuk beri manfaat pada 2026 dalam Belanjawan 2026 pada Oktober 2025 ini,” kata beliau.
Perdana Menteri memberi komitmen Kerajaan MADANI akan terus mengemudi pentadbiran negara dengan lebih bertanggungjawab dengan memperkenalkan dasar dan tindakan yang boleh menjamin keselesaan kepada rakyat.
— BERNAMA