IPOH – Kerajaan negeri mengambil langkah strategik dengan mengaktifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana, kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap kegusaran rakyat berhubung ketidaktentuan perubahan dalam lanskap ekonomi global yang tidak menentu.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“MTEN Perak adalah platform konsultasi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan pihak-pihak berkepentingan.
“Antara fokus skop perbincangan MTEN Perak termasuk memantau perkembangan ekonomi di peringkat nasional mahupun global.
“Menerusi platform itu, ia dapat menilai keberkesanan pelaksanaan dasar ekonomi di peringkat negeri menerusi mekanisme pengumpulan data, seterusnya mengesyorkan langkah-langkah penyesuaian dasar ekonomi negeri.
“Selain itu, ia menyediakan platform untuk rundingan bersama sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil serta pihak-pihak berkepentingan lain.
“Ini bagi merangka serta melaksanakan dasar dan strategi ekonomi negeri yang lebih inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,“ katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Daruk Ridzuan, pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab cadangan penubuhan unit tindak balas bagi menilai impak dasar luar ekonomi terhadap sektor pekerjaan dan pelaburan negeri.
Saarani turut memaklumkan hasil perbincangan di platform MTEN Perak ini akan dibawa ke Majlis MMK untuk dipertimbangkan dan diputuskan sebagai punca kuasa atau mandat untuk dilaksanakan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan telah melancarkan tarif kepada pelbagai negara termasuk Malaysia walaupun kemudian mengumumkan beberapa penangguhan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: