Kerajaan negeri ‘belanja’ 800 kereta, motosikal isi petrol percuma

SERI ISKANDAR – Menjelang Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini, Kerajaan Negeri Perak mengambil inisiatif membelanja 800 kenderaan untuk mengisi petrol RON 95 secara percuma.

Seramai 500 penunggang motosikal dan 300 pemandu kereta mendapat manfaat isian petrol secara percuma itu yang diadakan bersempena Program Happy Hour Free Fuel, Free Fuel Road Fatality@Petronas Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Petronas UTP Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebanyak RM30 diperuntukkan bagi mengisi petrol untuk sebuah kereta manakala RM5 bagi motosikal.

Kerajaan negeri ‘belanja’ 800 kereta, motosikal isi petrol percuma
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membantu orang ramai mengisi minyak kereta secara percuma pada Program Happy Hour Free Fuel Free Road Fatality di Petronas UTP, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 FEBRUARI 2024.

Menurutnya, selain daripada program pengisian petrol percuma, turut diadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2024 melibatkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

“Program yang diadakan bersama-sama MJKR Perak ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati membawa kenderaan terutamanya pada musim perayaan.

“Dua hari lalu, berlaku kemalangan besar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Justeru, menerusi kempen ini, kita akan menasihati mereka (pengguna jalan raya) supaya perkara itu (kemalangan) tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas selesai merasmikan program tersebut.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohamad Yusoff Abustan.

Kerajaan negeri ‘belanja’ 800 kereta, motosikal isi petrol percuma
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melancarkan Program Happy Hour Free Fuel Free Road Fatality di Petronas UTP, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 FEBRUARI 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata, sebanyak 2.5 juta kenderaan dijangka akan melalui Jalan Persekutuan dan lebuh raya di negeri ini.

“Tahun Baharu Cina ini, ramai yang akan pulang ke kampung bukan sahaja kaum Cina tetapi seluruh kaum di Malaysia akan turut sama pulang ke kampung.

“Sehubungan itu, bagi mengelakkan kebanjiran pengguna di atas jalan raya atau mengelakkan daripada kejadian tidak diingini, pemandu perlu memastikan diri mereka berada dalam keadaan baik.

“Kita mencadangkan supaya pemandu yang sudah memandu kira-kira empat jam untuk berhenti terlebih dahulu.

“Jika berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), berhenti solat, minum kopi secawan dan basuh muka untuk menyegarkan diri baru teruskan semula perjalanan,” ujarnya.

Kerajaan negeri ‘belanja’ 800 kereta, motosikal isi petrol percuma
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melancarkan Kod QR panduan keselamatan jalan raya pada Program Happy Hour Free Fuel Free Road Fatality di Petronas UTP, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 FEBRUARI 2024.

Katanya, Kempen Panduan Keselamatan Jalan Raya yang turut dilancarkan pada hari ini akan menjadi kempen berterusan sepanjang masa.

“Panduan tersebut boleh diakses menerusi kod QR yang dicetak di atas bahan kempen yang diedar kepada pengguna-pengguna jalan raya yang mengikuti program pada hari ini.

“Selain itu, ia boleh diakses melalui laman media sosial agensi-agensi di bawah MKJR Perak,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

WCE Beruas-Taiping Selatan, dijangka dibuka menjelang Aidilfitri

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI