Kerajaan Negeri Perak ucap takziah kepada keluarga nahas Teluk Intan

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis pagi tadi di Teluk Intan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap insiden menyayat hati itu yang dianggap satu kehilangan besar, bukan sahaja buat keluarga mangsa, tetapi juga buat seluruh pasukan keselamatan dan rakyat Malaysia.

“Dengan hati yang amat pilu menerima berita kemalangan pagi ini yang meragut 10 nyawa anggota FRU kita di Teluk Intan.

“Kehilangan ini amat besar, bukan sahaja buat keluarga mangsa, tetapi juga buat seluruh pasukan keselamatan dan rakyat Malaysia yang amat terkesan dengan tragedi ini,” katanya.

Menurut beliau, tragedi itu amat meruntun jiwa seluruh rakyat yang menghargai jasa dan pengorbanan wira-wira keselamatan negara.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Perak merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga wira-wira yang terkorban,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian besar ini.

“Mudah-mudahan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka, mengangkat mereka dalam kalangan para syuhada.

“Semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan kepada seluruh keluarga atas kehilangan yang tiada galang ganti.

“Negara amat terhutang budi atas jasa dan pengorbanan mereka,” katanya lagi.

ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kegagalan stereng lori membawa muatan pasir dipercayai punca nahas yang mengorbankan lapan pegawai rendah polis (PRP) Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam Simpang Tangki Air, Langkap, dekat sini.

Katanya, dalam nahas pukul 8.51 pagi tadi, lori pasir berkenaan telah merempuh hadapan lori PSP Unit 5 ketika sampai di lokasi kejadian. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI