IPOH – Kerajaan Perak tidak akan teragak-agak untuk menghentikan sebarang aktiviti perlombongan jika terbukti ia mengancam kesihatan awam.
Ini susulan kejadian air Sungai Perak berhampiran Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar warna biru baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut.
“Dalam hal ini, saya sekali lagi mengulangi pendirian tegas kerajaan negeri bahawa keselamatan rakyat tidak akan sesekali dikompromi serta tidak akan teragak-agak menghentikan aktiviti perlombongan di kawasan berkenaaan jika terbukti ia mengancam kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Saarani memaklumkan beberapa perkara berhubung fenomena air biru dirungkaikan pada pertemuan antara delegasi kerajaan negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Turut terlibat ketua-ketua jabatan teknikal termasuk pihak Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) Malaysia Jumaat lalu.
Katanya, setakat ini, penyebab mutlak fenomena air biru belum dapat dimuktamadkan dan tidak ada bukti yang dapat mengesahkan kaitannya secara langsung dengan aktiviti perlombongan.
“Berdasarkan rekod, fenomena air sungai menjadi biru pernah dilaporkan berlaku pada tahun 2018 di kawasan yang hampir sama sewaktu industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) belum pun beroperasi negeri ini dan fenomena tersebut berlaku ketika taburan hujan luar biasa.
“Pihak JMG turut mengesahkan kawasan Hulu Perak sememangnya kaya sumber mineral yang tinggi seperti bijih timah, tembaga, mangan, arsenik dan pyrite. Setiap kali hujan, mineral-mineral yang berada dalam tanah boleh dibawa bersama ke sungai.
“Kehadiran mineral yang tinggi di dalam sungai menyebabkan larutan mineral seperti Ferum Sulfat dan Tembaga Sulfat boleh juga menampakkan air berwarna biru.
“Selain itu, bacaan 13 becquerel yang dilaporkan sebelum ini diyakini menggunakan pengukuran instrumen Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICPMS) yang hanya berkeupayaan menganalisis kepekatan mineral sesuatu elemen dalam unit peratus atau part per million (ppm) atau part per billion (ppb), bukannya mengukur kandungan radioaktif sesuatu bahan.
“Sedangkan analisis sebenar bagi menentukan keradioaktifan sesuatu elemen atau bahan sepatutnya menggunakan instrumen seperti Neutron Activation Analysis, Alpha Spectrometry atau Gamma Spectrometry seperti yang lazim digunakan untuk mengukur tahap sebenar radioaktif,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Saarani menjelaskan bahawa pihak kementerian juga sependapat hanya Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) boleh mengesahkan sebarang aktiviti tenaga atom termasuk bahan radioaktif selaras tafsiran Sekyen 3 dan 8, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
“Susulan itu, beberapa perkara penting juga telah diputuskan dalam pertemuan berkenaan termasuklah penubuhan task force di peringkat kementerian yang turut disertai semua jabatan teknikal bagi meneliti, menyiasat, dan mencari justifikasi teknikal serta fakta lapangan terhadap semua isu yang timbul.
“Siasatan lanjut sedang diteruskan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya disahkan berlaku pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) atau peraturan di bawah Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Selain itu, Jabatan Tenaga Atom akan membuat analisa komprehensif untuk mengukur tahap sebenar keradioaktifan di tapak projek perlombongan REE.
“Ketetapan juga dibuat agar semua pihak dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang salah faham dan kekeliruan sehingga mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri mengambil sikap terbuka dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan menghormati sebarang ketetapan yang akan diputuskan kelak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


