IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengambil tanggungjawab susulan insiden seorang wanita bertindak naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2025.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri juga bersikap tidak menunding jari menyalahkan mana-mana pihak ekoran kejadian tersebut.
“Tadi dalam mensyuarat Exco kita berbincang bahawa untuk mengambil tanggungjawab jika ia dikatakan ada loophole (kelompongan) dalam penganjuran itu memandangkan ia berlaku dalam program kita.
“Pada masa sama kita tidak menunding jari kepada sesiapa sebab ia berlaku sangat pantas,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada pelancaran Program Empower Tahfiz: Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-Anak Tahfiz Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Tambah Saarani, insiden terbabit juga merupakan peringatan kepada semua pihak yang menghadiri majlis dihadiri orang-orang kenamaan supaya sentiasa peka tentang keselamatan sekeliling.
Dalam masa sama, Saarani melahirkan rasa kagum terhadap sikap tenang Sultan Nazrin yang tetap meneruskan tugasan dan menyempurnakan istiadat walaupun insiden itu berlaku.
“Tuanku masih berdiri, menerima tabik hormat, berjalan seperti yang dirancang, malah selepas itu beramah mesra dengan rakyat.
“Itu sangat menggembirakan kerana tiada suasana panik atau hiruk-pikuk,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa akan memastikan aspek keselamatan terus diperkemas bagi mengelakkan sebarang kejadian sama berulang.
Terdahulu seorang wanita ditahan polis selepas bertindak naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di hadapan Dewan Bandaran, 31 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak sedang berkumandang.
Beliau berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun itu naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas di lokasi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: