PARIT – Kerajaan Perak menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan dengan menyampaikan sumbangan kepada keluarga pelajar sekolah yang meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, semalam.
Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) dilaporkan rebah ketika beraksi melawan Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) dalam kejohanan tersebut.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, sumbangan itu telah diserahkan kepada abang Allahyarham ketika beliau menziarahi keluarga mangsa Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada petang Jumaat.
“Saya difahamkan pelajar ini adalah seorang yang aktif dan tiada masalah kesihatan. Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh jurulatihnya ketika kejadian Allahyarham mengalami kekejangan sehingga menyebabkan berlai masalah pernafasan.
“Allahyarham kemudiannya dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Cempakasari 2025 di Pulau Cempakasari, di sini pada Sabtu.
Beliau memaklumkan jenazah Muhammad Fauzan telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat yang dilakukan petang semalam selesai.
“Kita ada beri sedikit sumbangan kepada keluarga yang diwakili oleh abang arwah semalam,” ujarnya.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 selepas kejadian seorang pelajar meninggal dunia secara mengejut ketika menyertai kejohanan tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kempen Internet selamat manfaatkan lebih 12,000 pelajar di Perak hingga September – EXCO