IPOH – Kerajaan Perak akan berbincang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangani peningkatan konflik antara gajah dan manusia yang dilihat sering berlaku sejak kebelakangan ini khususnya di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan pemerhatian, terdapat perubahan dalam tingkah laku gajah, apabila haiwan liar itu dilihat menyeberangi secara berkumpulan di kawasan tersebut.
Menurutnya, antara perkara yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut adalah melaksanakan kajian terhadap tingkah laku gajah.
“Saya berbincang dengan rakan-rakan, kita perlu mempelajari tingkah laku gajah ini kerana kebelakangan ini haiwan liar tersebut kerap menyeberangi laluan berkenaan secara berkumpulan.
“Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan dia (gajah) melintas. Jadi, kita (kerajaan negeri) akan bincang dengan Perhilitan yang lebih memahami serta mengkaji tabiat gajah dan apakah sebab dia menyeberang (jalan),“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utama (NCER) Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.
Dalam perkembangan sama, Saarani turut mengimbas pengalaman semasa pembangunan Projek Agropolitan Ganda, Gerik sebelum ini, di mana kawanan gajah kerap mengganggu tanaman getah yang baru ditanam.
“Setiap kali kita tanam getah, dia (gajah) ganggu. Akhirnya kita berkompromi, kita tanam satu keluasan untuk dia.
“Selepas itu, gangguan (gajah) terhadap kawasan tanaman berhenti. Ini menunjukkan pentingnya kita memahami dan menyesuaikan diri dengan tingkah laku hidupan liar tersebut,“ jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan untuk menyiasat sama ada gajah kini lebih kerap menyeberangi laluan Gerik-Jeli berikutan insiden kemalangan yang melibatkan anak gajah baru-baru ini, atau sama ada terdapat faktor lain yang mempengaruhi pergerakan mereka.
“Saya juga ingin mengingatkan pengguna jalan raya, terutamanya di tersebut supaya sentiasa berhati-hati,” ujarnya.
Untuk tindakan lanjut, Saarani telah mengarahkan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim untuk mengadakan perbincangan bersama Perhilitan dalam usaha mengenal pasti punca sebenar dan pendekatan terbaik bagi mengurangkan risiko konflik.
“Kami sedang menyiasat perkara ini, terutama kerana kini gajah dilihat menyeberang jalan dalam kumpulan yang lebih besar,” katanya lagi.
Kelmarin, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di Kilometer 11, JRTB Gerik-Jeli pada waktu malam.
Kejadian dikatakan berpunca daripada kenderaan di belakang membunyikan hon menyebabkan tiga ekor gajah tersebut bertindak agresif. – MG Perak
Artikel Berkaitan: