Kerajaan Perak perkukuh Sistem e-Tanah tambah hasil negeri

MULA dilaksanakan 15 Februari 2021, perkhidmatan Sistem e-Tanah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan selari dengan matlamat utamanya mentransformasikan sistem pentadbiran tanah supaya lebih cekap dan mesra rakyat.

Inisiatif yang dirangka bagi mengubah pengurusan pentadbiran tanah, demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih mudah, pantas, dan berkesan itu kini membuahkan hasil apabila kutipan hasil pada 2024 mencecah hampir RM1 billion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya sempena Hari e-Tanah Negeri Perak 2025 baru-baru ini berkata melalui kaedah pendigitalan, kutipan hasil tanah mencatatkan trend peningkatan dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, sistem itu bukan sahaja mempercepatkan proses pentadbiran tetapi juga membawa impak besar kepada kutipan hasil tanah, sekali gus memperkukuhkan kedudukan kewangan Perak secara keseluruhan.

Perkara itu beliau buktikan dengan kejayaan kutipan hasil sebanyak RM643.9 juta pada tahun pertama pelaksanaan e-Tanah yang mana kemudiannya meningkat kepada RM699.8 juta pada 2022.

Jumlah kutipan hasil Negeri Perak terus merekodkan peningkatan bagi tahun 2023 iaitu sebanyak RM822.5 juta sebelum melonjak kepada RM913.9 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Angka-angka ini memberikan gambaran jelas bahawa transformasi digital melalui e-Tanah bukan sahaja berjaya meningkatkan kecekapan sistem pentadbiran tanah tetapi juga menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri secara menyeluruh.

Saarani juga berkata, transformasi pendigitalan dalam pentadbiran tanah bukan sahaja memberikan kemudahan kepada rakyat dalam urusan harian tetapi juga memainkan peranan besar dalam mencapai matlamat strategik.

“Dengan adanya sistem yang moden dan inovatif, proses seperti pendaftaran dan pemindahan hak milik dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan mudah.

“Selain itu, kepercayaan pelabur, khususnya pelabur antarabangsa dapat dipertingkatkan dan dipenuhi kerana mereka menuntut jaminan dalam pengurusan serta pentadbiran yang sistematik dan boleh dipercayai,” katanya.

Tambah beliau, pendigitalan juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, membuka ruang kepada peluang pekerjaan baharu serta menarik lebih banyak pelaburan dinamik yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi.

“Pendigitalan juga memberikan sumbangan besar kepada pembangunan mampan, menjadikan Perak sebagai model negeri yang berjaya memanfaatkan teknologi untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat reruai pameran pada Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Dengan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual, pendigitalan membantu menjimatkan sumber dan memelihara alam sekitar, sejajar dengan agenda kelestarian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Inovasi teknologi system e-Tanah bantu atasi cabaran keselamatan siber

Disebalik kejayaan system e-Tanah kepada Perak kerajaan negeri tidak boleh mengabaikan cabaran baharu dalam era digital ini terutamanya dalam keselamatan siber.

Kesedaran serta melindungi rakyat daripada ancaman penipuan digital perlu diberi perhatrian serius memandangkan ia bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan rakyat, malah mampu mendatangkan implikasi kewangan yang serius.

Justeru itu, saranan Saarani agar langkah-langkah pencegahan perlu diperkukuh bagi memastikan data sensitif dalam sistem digital kekal terjamin adalah tepat pada masanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat perlu diberi pendedahan dan pendidikan untuk memanfaatkan transformasi digital ini.

“Sehubungan itu, Kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inovasi teknologi dalam Sistem e-Tanah dan salah satunya ialah penggunaan Rugged Tablet dalam operasi lapangan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat reruai pameran pada Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Turut sama Pengarah Tanah Dan Galian Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 JANUARI 2025.

“Alat ini membolehkan pegawai tanah melaksanakan tugas secara lebih efisien, termasuk menghantar laporan teknikal terus ke sistem dalam talian tanpa perlu kembali dahulu ke pejabat.

“Langkah ini memberikan manfaat langsung kepada rakyat, di mana perkhidmatan menjadi lebih pantas, tepat, dan efisien.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut melancarkan aplikasi mudah alih e-Tanah, yang direka khusus untuk membolehkan rakyat mengakses maklumat berkaitan tanah, membuat pembayaran, dan menguruskan urusan mereka dengan mudah, hanya di hujung jari,” katanya.

Maka tidak hairanlah, apabila Saarani mengumumkan Kerajaan negeri Perak menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak menyasarkan RM991 juta hasil kutipan tanah pada tahun ini.

Katanya, hasil kutipan ini dijangka meningkat susulan kualiti penyampaian perkhidmatan yang dipertingkatkan melalui pendekatan Kerajaan Digital. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Perak sasar hampir RM1 bilion hasil kutipan tanah tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI