IPOH – Sebanyak 52,000 naskah buku rujukan tambahan percuma kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disediakan Kerajaan Negeri Perak dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik kepada golongan berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) itu merupakan kerjasama strategik Yayasan Perak dengzn Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.
Saarani berkata, ia merupakan kesinambungan daripada projek rintis tahun lalu melibatkan 4,000 set buku rujukan bagi enam mata pelajaran teras kepada pelajar.
“Pelaksanaan ini melibatkan semua sekolah di 12 daerah, berdasarkan keputusan akhir tahun pelajar Tingkatan Empat untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan akademik.
“Inisiatif bantuan buku rujukan ini merupakan satu lagi cabang program di bawah program TCS, yang sebelum ini berfokus kepada pelbagai intervensi seperti kelas tambahan, bantuan makanan percuma, program motivasi dan saringan akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Buku Rujukan Tambahan SPM 2025 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut Saarani berkata, semua buku tersebut dibangunkan oleh panel guru berpengalaman mengikut format peperiksaan terkini dan menekankan penguasaan konsep serta teknik menjawab.
Jelas beliau, buat masa ini tumpuan diberikan kepada dua subjek wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
Katanya, empat lagi buku rujukan bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains pula dalam proses penerbitan.
“Langkah ini melengkapi pelbagai program intervensi berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Yayasan Perak untuk mendukung kecemerlangan pelajar SPM,” katanya.
Tambah beliau, antaranya Program YP Smart Target A+, iaitu bimbingan intensif kepada 50 pelajar berpotensi tinggi dan hasilnya, 48 pelajar memperoleh straight A termasuk seorang dengan semua A+.
“Program Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA) bersama Cikgu Saarani, melibatkan lebih 6,000 pelajar di seluruh negeri dengan pendekatan motivasi, pembinaan jati diri dan sokongan emosi;
“Program Red Flag Risiko Cicir (RFRC), iaitu sistem intervensi awal yang berjaya mengurangkan jumlah calon yang gagal hadir peperiksaan daripada 611 orang (2023) kepada 479 orang (2024),” katanya.
Saarani berkata, gabungan semua intervensi ini telah menyumbang secara langsung kepada peningkatan keputusan SPM 2024 Negeri Perak, apabila Gred Purata Negeri meningkat kepada 4.63 berbanding 4.75 pada tahun sebelumnya.
Katanya, seramai 25,774 calon iaitu 93.86 peratus layak menerima sijil SPM, manakala jumlah pelajar memperoleh semua A meningkat kepada 927 orang, termasuk 9 calon straight A+.
“Kerajaan Negeri akan terus komited menyediakan sokongan menyeluruh kepada anak-anak Perak agar mereka terus maju, yakin dan mampu mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: