TAPAH – Usaha Kerajaan Negeri Perak berjaya menamatkan penantian bekas perajurit untuk mengembalikan identiti kawasan penempatan mereka di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Bidor.
Penantian lebih tiga dekad itu, diluluskan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis dan secara rasmi berkuat kuasa mulai 12 Januari 2026 itu melibatkan kira-kira 371 pemilik rumah di kawasan tersebut.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, kawasan berkenaan merupakan tanah kurniaan Sultan Perak kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1987 sebelum dibangunkan sebagai kawasan perumahan pada awal 1992.
Menurut beliau, penyelesaian itu dicapai melalui kelulusan menggunakan nama ‘RPT Perajurit Bidor@Taman Seri Bidor’ selepas penelitian menyeluruh melibatkan aspek sejarah, perundangan dan pentadbiran.
“Namun selepas kawasan ini siap diduduki dan cukai taksiran mula dikenakan pada tahun 1994, nama Taman Seri Bidor digunakan dalam sebahagian urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.
“Bagaimanapun hak milik tanah itu masih menggunakan nama RPT Perajurit Bidor dan perbezaan penggunaan nama ini menimbulkan kekeliruan berpanjangan melibatkan urusan alamat, cukai, utiliti dan dokumentasi rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke RPT Perajurit Bidor, Taman Seri Bidor di sini pada Isnin yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Mengulas lanjut, Sandrea berkata, Kerajaan Perak menyedari kepentingan nama asal RPT Perajurit Bidor yang membawa nilai sejarah, identiti serta pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan bekas perajurit yang menetap di kawasan tersebut.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng bergambar bersama bekas perajurit sempena lawatan kerja ke RPT Perajurit Bidor, Taman Seri Bidor, Tapah.
Jelas beliau, tindakan susulan akan diambil bagi memastikan keseragaman penggunaan nama baharu itu dalam semua urusan rasmi bagi melancarkan tadbir urus pentadbiran.
“Isu ini kembali dibangkitkan Persatuan Veteran ATM Perak kepada Menteri Besar pada April tahun lalu menerusi program hari bertemu pelanggan yang membawa kepada keputusan muktamad pada Isnin.
“Walaupun mengambil masa lebih 30 tahun, penduduk tidak pernah jemu memperjuangkan isu ini dan kerajaan negeri akan sentiasa mengambil kira sejarah serta pandangan komuniti dalam setiap keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Perak, Mazlan Umar berkata, tanah berkenaan pada asalnya dianugerahkan kepada 385 bekas perajurit yang menetap di sekitar daerah Batang Padang.
Katanya, ia sebagai penghargaan atas khidmat bakti mereka mempertahankan negara di mana kebanyakan penerima terlibat secara langsung dalam operasi keselamatan ketika era darurat kedua sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, ketika ancaman pengganas komunis masih wujud.
“Sekarang hanya kira-kira 50 orang bekas perajurit yang masih menetap di sini, kebanyakannya berusia 70 tahun ke atas, manakala selebihnya telah meninggal dunia, ada juga telah mewariskan tanah kepada generasi seterusnya.
“Bagi pihak rakan-rakan veteran dan penduduk RPT ini, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terharu kepada kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya lagi, kejayaan berkenaan memberi kelegaan kepada mereka dan berasa seolah-olah merasai kemerdekaan sekali lagi. -MG Perak


