IPOH – Kerajaan Negeri Perak tetap meneruskan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri yang dijadualkan pada Sabtu depan di Stadium Indera Mulia di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri maklum keputusan Kabinet tidak menggalakkan kementerian, agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Mengambil kira arahan tersebut, maka kita nasihatkan GLC di Perak supaya tidak menganjurkannya (rumah terbuka) secara berasingan bagi menjimatkan wang.
“Tetapi kalau ada kolaborasi contohnya Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan semua agensi yang ingin buat (rumah terbuka) sehari sahaja, maka kita (kerajaan negeri) akan benarkan supaya kemeriahan itu diteruskan tapi jangan buat hari-harilah.
“Itulah setakat ini pendirian kerajaan negeri. Kita ambil kira juga sebab tempahan dengan katerer yang telah dibuat, pada waktu kita hendak berjimat, kita perlu ambil kira juga katerer serta pekerjanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront @ Old Town di Kinta Riverwalk di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.
Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kementerian, agensi serta GLC tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


