IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan caruman sekali beri (one off) berjumlah RM50 bagi membuka akaun Skim i-Suri dan i-Saraan kepada semua ibu tunggal yang tersenarai dalam data e-Kasih daripada kategori miskin dan miskin tegar.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, seramai 1,979 orang ibu tunggal layak menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah peruntukan berjumlah RM98,950.
Menurutnya lagi, pemberian berkenaan juga merupakan inisiatif Kerajaan Perak menghargai dan memberikan perlindungan sosial kepada wanita yang bergelar ibu tunggal.
“Atas usaha itu saya mengambil pendekatan memperuntukkan sedikit peruntukan melalui bajet di bawah portfolio saya kepada ibu tunggal yang berada dalam senarai e-Kasih dengan memberi caruman permulaan pembukaan akaun i-Suri sebanyak RM50 kepada penerima yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet, Banggunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Salbiah dalam teks ucapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dibaca beliau berkata, melalui usaha berkenaan pencarum bakal menerima insentif caruman sebanyak 50 peratus daripada jumlah simpanan.
Jelasnya lagi, waris pencarum juga layak menerima insentif Khairat Kematian sebanyak RM2,500 selepas kematian.
“Usaha ini diharap dapat memberi peluang kepada mereka yang bekerja sendiri untuk mencarum secara sukarela dan menikmati manfaat insentif kerajaan, sekali gus menjamin masa depan yang lebih terjamin pada hari tua,” katanya. -MG Perak


