KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya mencari penyelesaian terbaik berhubung isu lebih 10,000 pengusaha kantin yang dijangka menaikkan harga makanan sebanyak 50 peratus pada tahun depan.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, pengusaha-pengusaha kantin agak terkesan dengan peningkatan kos saban tahun, apatah lagi apabila mereka tidak dibenarkan menggunakan barangan bersubsidi.
Katanya, kelangsungan semua pengusaha itu banyak bergantung kepada kos dan margin keuntungan yang munasabah untuk jualan makanan di kantin sekolah di seluruh negara.
“Kerajaan perlu meneliti dan mengambil kira keadaan pengusaha kantin sekolah yang kebanyakannya adalah warga emas dan pengusaha kecil-kecilan.
“Pas juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan satu mekanisme khusus melalui Kementerian Pendidikan.
“Ia adalah supaya pengusaha kecil kantin boleh membuat permohonan subsidi atau bantuan kewangan khusus untuk pengusaha kantin sekolah bagi menampung kos bahan mentah yang meningkat,” katanya menerusi kenyataan.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah memberi bayangan harga makanan dan minuman di kantin sekolah dijangka meningkat melebihi 50 peratus bermula tahun depan selepas pengusaha kantin menandatangani tender baharu.
Katanya, ia berikutan penguatkuasaan berhubung penggunaan barangan bersubsidi.
Jelasnya, tender kantin sekolah dibuka setiap tiga tahun dengan 10,000 pengusaha bakal memperbaharui kontrak masing-masing pada 2025.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme khusus melalui Kementerian Pendidikan, supaya pengusaha-pengusaha kantin sekolah boleh membuat permohonan subsidi atau bantuan kewangan khusus bagi menampung kos bahan mentah yang meningkat.
Di samping itu kata beliau, kerajaan juga perlu melihat dari sudut pandang di pihak ibu bapa yang merasai kesan kenaikan harga barang serta meneliti tuntutan mereka yang berharap agar harga makanan di kantin sekolah dijual pada kadar yang munasabah terutamanya di sekolah-sekolah di luar bandar.
“Pada awal tahun ini, tinjauan di daerah Kota Bharu mendapati, berlaku kenaikan harga makanan kantin sekolah sebanyak antara 50 sen hingga RM1. Sebagai contoh, harga bihun dan mi goreng kosong tanpa telur sebelum ini hanya RM1.50 naik kepada RM2, nasi berlauk ayam kebanyakannya RM2 hingga RM2.50, telah naik kepada RM3,” ujarnya.
Justeru, Shahir menggesa supaya Program Rancangan Makanan Tambahan yang telah menerima jumlah peruntukan sebanyak RM716 juta bagi tahun 2024 dicadangkan supaya lebih diperkemaskan pelaksanaannya dan meliputi kepada semua murid yang layak terutamanya memanfaatkan anak-anak daripada keluarga berpendapatan di bawah garis kemiskinan nasional. – MalaysiaGazette