Kerajaan Perpaduan Perak perbetul persepsi di kawasan PN

IPOH – Kerajaan Perpaduan Perak akan membetulkan persepsi rakyat di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang yang dimomokkan dengan pandangan bahawa kerajaan sedia ada tidak kuat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun berbeza ideologi dan perjuangan sebelum ini, Kerajaan Perpaduan Perak semakin kukuh selepas lebih setahun mentadbir negeri ini.

“Sudah tentu di peringkat Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang dimenangi, mereka akan cuba sedaya upaya memberitahu pengundi bahawa kerajaan ini bukan yang kuat kerana ada perbezaan antara ideologi perjuangaan UMNO, BN dan PH.

“Jadi kita kena buktikan kepada PN dan orang ramai bahawa apa disebut pembangkang tidak betul,” katanya pada sidang media bersempena Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut Saarani berkata, perbezaan yang terdapat dalam kalangan parti di bawah Kerajaan Perpaduan merupakan perkara lumrah memandangkan di dalam Al-Quran juga turut menyebut bahawa Allah menjadikan manusia berbeza-beza.

“Ya memang kita ada perbezaan dan dalam Al-Quran disebut Allah menjadikan kita tidak sama, berbeza-beza dengan tujuan untuk kamu saling mengenali dan dulu kita kata UMNO dan Dap saling bercakaran.

“Itu semasa kita tidak mengenali tetapi sekarang kita saling mengenali, tidak kenal maka tidak cinta sekarang kita tahu mereka boleh kerja bersama dengan perbezaan falsafah atau latar belakang politik,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu, bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat Kerajaan Perpaduan Perak akan turun ke bawah bagi membuktikan meskipun dari parti berbeza Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinannya yang dibantu 10 Exco mampu mentadbir dengan baik.

“Kami mampu mengasingkan pendapat yang berbeza dan mencari titik pertemuan untuk membuat keputusan yang baik demi rakyat, negeri dan negara kerana itu lebih penting.

“Berbaki empat tahun lagi untuk meyakinkan khususnya orang Melayu, Islam di tempat PN yang mereka telah diperdaya dengan hujah-hujah atas kepentingan mereka,” katanya.

Saarani turut berharap agar semua masyarakat Melayu di Perak yakin bahawa Kerajaan Perpaduan merupakan pilihan terbaik bagi Malaysia dan Perak. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mansuh pencen, Saarani mahu teliti dahulu sebelum ulas

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI