JOHOR BAHRU – Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang cuba mengheret isu guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) demi kepentingan politik.
Ketua Sektor Pendidikan Pemuda Pas Johor, Mohamad Ekhwan Mohd Nazari berkata, sepatutnya beliau atau ahli Parlimen kerajaan lain tidak campur tangan dalam isu Pasti.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Johor berkata, wakil rakyat kerajaan itu dilihat ghairah dalam isu guru Pasti sedangkan gagal menyelesaikan kemelut dan kebajikan guru di bawah bidang kuasa mereka.
“Mereka masih gagal menyelesaikan kemelut asas kebajikan guru di bawah bidang kuasa mereka sendiri termasuk Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir yang sehingga kini hanya dibayar elaun bulanan tanpa jaminan masa depan.
“Persoalannya, adakah kerajaan menganggap tugas besar mereka dalam pendidikan agama sekadar kerja sambilan atau sukarela?
“Realitinya, para asatizah ini adalah benteng akidah dan akhlak umah, pembimbing ibadah serta penggerak utama pendidikan agama sejak sekian lama.
“Namun, mereka terus dibiarkan bergelut dengan kos sara hidup tanpa status pekerjaan yang terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Nik Nazmi dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) menyifatkan tidak adil kepada lebih 9,500 guru Pasti hanya menerima elaun antara RM600 hingga RM700, jauh di bawah kadar gaji minimum.
Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, alasan guru itu dilabel sukarelawan dan bukannya pekerja sebagai tidak boleh diterima.
Bekas menteri itu berkata, perkara itu bercanggah dengan peraturan gaji minimum RM1,700 dan mengelak kewajipan lain seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Mengulas lanjut, Ekhwan berkata, bagi menyelesaikan kemelut asas kebajikan guru KAFA dan takmir, DPPNJ menuntut tindakan segera seperti pengiktirafan rasmi sebagai penjawat awam dengan gaji tetap; caruman KWSP/pencen; insurans kesihatan; cuti tahunan, dan semua kemudahan sewajarnya.
Selain itu peranan guru KAFA dan takmir di peringkat Persekutuan perlu diselaraskan bagi mengurangkan beban Jabatan Agama Negeri.
Beliau juga mencadangkan semakan serta kenaikan kadar elaun tanpa berlengah sementara menunggu pelaksanaan gaji tetap selain menghentikan segera pengabaian kebajikan para asatizah yang menjadi tiang seri pendidikan agama negara.
Beliau mendakwa, serangan politik terhadap Pasti adalah tindakan murahan yang mengkhianati jasa para pendidik.
Ini termasuk katanya, mereka yang telah mengasaskan pendidikan Islam sejak lebih empat dekad lalu dan melahirkan lebih sejuta orang alumni.
Pasti katanya, diwujudkan untuk membantu agama dan negara ini, jika mana-mana pihak tidak berniat nak membantu lebih baik diam sahaja.
“Kami menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak layak berbicara soal Pasti selagi masalah guru di bawah tanggungjawab mereka sendiri tidak diselesaikan.
“Hentikan mainan politik, tunaikan amanah rakyat,” tegasnya.- MalaysiaGazette