LUMUT – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM190 juta bagi melaksanakan 13 Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di seluruh negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara negeri yang terlibat termasuklah Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, ada antara negeri yang menerima peruntukan hampir RM20 juta untuk menjalankan projek perumahan tersebut.
“Memang masih ada projek dalam senarai menunggu, tapi ada projek yang telah siap. Lapan projek telah siap manakala lima dalam proses pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa Ke-2 di Arena Terbuka Teluk Gedung, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Faiz berkata, projek perumahan tersebut turut dilaksanakan di Teluk Baharu dan Pasir Bogak di Pulau Pangkor.
“Keseluruhan projek perumahan di Pangkor ini melibatkan kos lebih RM24 juta dan ini adalah usaha kerajaan Persekutuan untuk membantu nelayan.
“Ini kerana kita sedar nelayan adalah golongan rentan yang memerlukan pembelaan, mereka ke laut untuk pastikan bekalan ikan yang cukup dan terjamin bagi rakyat Malaysia,“ ujarnya.
Pelaksanaan PSN adalah kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), LKIM dengan kerajaan negeri bertujuan membangunkan penempatan semula nelayan dengan prasarana asas yang selesa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


