KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM800 juta bagi menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disalurkan secara sekali beri berjumlah RM150 kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk menerima bantuan itu.
“Ibu bapa harus pergi ke sekolah sebab ibu bapa perlu pastikan wang itu dibelanja untuk anaknya, dan mereka kena dengar daripada guru masalah anak.
“Hendak wakilkan (kepada anak) tidak boleh sebab kita syaratkan dia (ibu bapa) harus ke sekolah kerana perbelanjaan ini tinggi… RM800 juta,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan BAP akan mula diagih seawal 11 Jan ini.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan dana segera berjumlah RM200 juta bagi membaiki Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz yang daif pada tahun ini.
Anwar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diarah untuk melaksanakan rundingan bagi memperbaiki kemudahan, meningkatkan mutu kurikulum serta guru di SAR dan maahad tahfiz.
Beliau berkata kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kepada RM80 juta berbanding RM50 juta pada tahun lepas dan memperuntukkan RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“SJKT walaupun lebih kecil jumlahnya tetapi ada juga sekolah Tamil ini yang keadaannya daif, dan sebab itu kita sediakan RM50 juta,” katanya.
— BERNAMA


