IPOH – Usaha untuk memulihkan semula perkembangan institusi pengajian Islam khususnya sekolah pondok dan tahfiz kini sudah menjadi sebahagian daripada dasar Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen berterusan kerajaan dapat dilihat melalui pengumuman Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Jumaat di samping peruntukan RM34.81 juta bagi pembaikan prasarana 137 sekolah pondok dan maahad tahfiz seluruh negara.
Katanya, kesemua peruntukan itu akan disalurkan mengikut keperluan dan keutamaan di institusi pengajian masing-masing
“Sebanyak 137 pondok, termasuk lapan di Perak yang kita beri keutamaan bagi peruntukan itu.
“Ia disalurkan bagi kita membaik pulih segala prasarana atau kemudahan asas termasuk tandas, bumbung, dinding dan sebagainya, supaya operasi sekolah terbabit berjalan dalam keadaan selamat.
“Ini adalah dasar kerajaan sekarang, iaitu mesti pulih (semula) kedudukan sekolah agama, sekolah pondok, dan maahad tahfiz. Dan kita mulakan itu dengan (peruntukan) RM34.81 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Rakyat bersama Warga Institusi Pendidikan Islam (Tahfiz / Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Tambun, Chemor, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengetua Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Tambun, Ahmad Zaki Mohamed Yusof.
Anwar menambah, meskipun usaha membaik pulih prasarana sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok disenaraikan dalam Belanjawan 2026, kerajaan akan berusaha untuk menambah peruntukan berkenaan dari semasa ke semasa melalui pelbagai inisiatif.
Beliau berkata, kemungkinan program Sekolah Angkat MADANI yang kini dilaksanakan di 1,000 buah sekolah seluruh negara akan turut membabitkan institusi sekolah agama bagi fasa kedua.
“Semua syarikat berkaitan kerajaan dan swasta seperti Petronas, Maybank, Khazanah (Khazanah Nasional Berhad), saya arahkan supaya mereka ambil sekolah angkat.
“Dan setakat ini belum masuk lagi sekolah-sekolah seperti sekolah menengah agama, maahad tahfiz dan sebagainya. Jadi bagi peringkat kedua (program Sekolah Angkat MADANI), kita minta (untuk dimasukkan sekolah agama).
“Kemudian saya juga akan teliti bersama Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Ekonomi untuk lihat bagaimana supaya kita tingkatkan menjadi program mentor supaya jelas nampak perubahan, serta komitmen kita dalam Kerajaan MADANI,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, kepimpinan kerajaan kini telah berusaha sebaik mungkin bagi memulihkan institusi sekolah agama khususnya sekolah agama rakyat, selepas peruntukan untuk sekolah terbabit dihentikan pada tahun 2003.
“Pemulihan sekolah agama telah dimulakan sejak kita ambil alih sejak tahun 2022, dan tidak terjadi sebelumnya. Malah ia menjadi dasar kerajaan walaupun barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada pelbagai parti dan kaum,” jelas beliau.
Pada masa sama, Anwar turut mengulangi saranan agar sekolah pondok agar terus diperkasakan dengan ilmu pengetahuan digital termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Tegas beliau, tanpa mengganggu struktur pengajian tradisional, institusi berkenaan harus bersedia terbuka agar tidak ketinggalan dengan arus perkembangan semasa.
“Kalau pondok tidak menguasai digital, teknologi, AI orang yang menguasai AI itu akan tenggelamkan pondok. Ini kerana AI sudah menjadi suatu kenyataan di dunia. Kalau kita biar orang luar menguasai, dia akan menjajah pemikiran dan teknologi kita.
“Justeru ini bermakna, kita harus kuasai teknologi ini. Kita harus masukkan AI dengan ilmu al-Quran, Hadis, sejarah, akhlak, Tamadun Islam dan sebagainya agar jawapan (dalam AI) tidak ditetapkan oleh orang asing,” kata Perdana Menteri. – MG Perak
Artikel Berkaitan: