SUNGAI SIPUT – Kerajaan menyambut baik cadangan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) berhubung pembangunan inisiatif strategik nasional berasaskan ekonomi gig dan pendigitalan sektor pertanian, dikenali sebagai Harvester on Wheel (HoW).
HoW adalah cadangan konsep platform digital untuk sektor pertanian komoditi yang sedang dibangunkan bagi menangani isu kritikal kekurangan tenaga kerja ladang, khususnya dalam sektor getah dan kelapa sawit yang didominasi oleh pekebun kecil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu adalah contoh pemikiran baharu luar bandar yang menghubungkan pertanian tradisional dengan ekonomi gig moden.
“Bagi saya, konsep ini berpotensi menjadi game changer dalam menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja tuaian.
“Ia juga membuka peluang pendapatan baharu kepada belia desa, meningkatkan profesionalisme kerja ladang dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib mewakili Ahmad Zahid pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas dan Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-25 PKPKM di MH Hotel, di sini pada Rabu.
Hadir sama pada majlis tersebut, Presiden PKPKM, Adzmi Hassan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, gabungan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan latihan pertanian yang sistematik boleh membina ekosistem gig luar bandar berkemahiran tinggi, produktif dan bermaruah.
“Sehubungan itu, kita bersedia untuk meneliti cadangan ini secara serius kerana apa sahaja inisiatif yang memberi manfaat kepada pekebun kecil, adalah keutamaan Kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). – MG Perak
Kerajaan sedia pelbagai inisiatif majukan TVET – Ahmad Zahid


