KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia untuk menimbang cadangan bagi mewujudkan Zon Ekonomi Khas Sempadan bagi Brunei dan Miri, Sarawak pada masa depan, kata Kementerian Ekonomi.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan sekiranya wujud keperluan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Pada masa ini, platform Brunei-Indonesia-Malaysia-Phillippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) telahpun tersedia untuk galakan kerjasama dalam pelbagai bidang fokus termasuk kerjasama pelaburan.
“Kerajaan Negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah digalakkan untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan negara jiran Brunei, Indonesia dan Filipina untuk pembangunan ekonomi serantau,” demikian menurut Rafizi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Rafizi (PH-Pandan) berkata demikian mengulas soalan lisan Chew Choon Man (PH-Miri) yang ingin tahu apakah perancangan bagi meneroka zon ekonomi khas antara Brunei dan Miri, yang berpotensi meningkatkan pelaburan rentas sempadan, perdagangan dan pelancongan, mengambil contoh kejayaan model zon khas Johor-Singapura.
Choon Man sebelum ini berkata Miri memiliki potensi besar untuk menjadi tumpuan kepada pelaburan asing terutamanya dalam bidang perkhidmatan dan sebagai tempat riadah, sekali gus menjadikan ia sesuai sebagai zon perdagangan bebas.
Malah katanya, dengan wujudnya zon ekonomi bebas ini akan membantu meningkatkan peluang ekonomi tempatan. – MalaysiaGazette