KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan, meluahkan rasa tidak senang terhadap kelewatan kerajaan menjelaskan kedudukan sebenar titah adendum berkaitan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, titah tersebut didakwa dikeluarkan ketika Sultan Pahang menjadi Yang di-Pertuan Agong, namun sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai kewujudannya.
“Saya kurang senang dengan apa yang telah berlaku. Adendum itu dikeluarkan semasa Sultan Pahang menjadi Yang di-Pertuan Agong. Sama ada melaksanakan atau tidak, itu isu perundangan.
“Tetapi sepatutnya kerajaan perlu mengumumkan sama ada adendum itu ada atau tidak, bukan selepas lebih 500 hari,” katanya seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.
Saravanan turut menggesa UMNO mengambil pendirian yang jelas mengenai isu tersebut jika benar parti itu mahu mempertahankan bekas presidennya.
“Sepatutnya UMNO memberi tekanan kepada pucuk pimpinan sama ada kita melaksanakan titah adendum itu atau tarik ‘handbrake’.
“Saya bercakap seperti ini kerana mereka perlu ada pendirian kukuh kalau betul mahu mengenang jasa Bossku. Kalau saya Presiden UMNO, saya sudah keluarkan lencana dengan slogan ‘siapa suruh, siapa sorok’,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan menyentuh pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, yang menurutnya dibuat secara tergesa-gesa dengan alasan titah diraja.
“BN dengan PKR dulu adalah musuh. Kita memang bukan musuh sebab landskap politik, tetapi dari segi ideologi. PKR menang sebab dia kata BN ini perompak.
“Perompak dengan bukan perompak akhirnya menubuhkan kerajaan dengan alasan titah Tuanku.
“Tuanku cadangkan sahaja demi kestabilan negara supaya tubuhkan Kerajaan Perpaduan, bukan bagi arahan. Tetapi tanpa fikir dua kali, tanpa berbincang dengan komponen dalam BN, lajunya UMNO pergi tubuhkan kerajaan dengan alasan titah Tuanku,” katanya.
Beliau turut mengimbas kembali istilah ‘tarik handbrak’ yang menurutnya sering disebut ketika UMNO berada dalam keadaan lemah.
“Dulu sewaktu keadaan tidak memihak kepada UMNO dan saya menjadi Menteri, saya sentiasa dengar ayat mahu tarik handbrake. Sekarang sudah ada adendum depan mata kita. Kalau betul mereka sayang kepada Bossku, gunakanlah ayat mahu tarik handbrake,” tegasnya. -MalaysiaGazette