KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus menyokong agensi penguatkuasaan dalam membanteras kes rasuah, walaupun siasatan melibatkan tokoh kanan atau institusi besar, susulan siasatan berterusan terhadap dakwaan ketidakwajaran dalam tender perolehan ketenteraan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan, rasuah sebagai masalah sistemik, sambil berkata bahawa, walaupun terdapat penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya, isu tersebut masih jauh daripada selesai.
“Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan keadaan beberapa tahun lalu, terdapat kemajuan, tetapi keperluan untuk bertindak masih ada,” katanya pada sidang media selepas meninjau kandang panda di Zoo Negara hari ini.
Beliau menegaskan, rasuah bukan sekadar berleluasa, malah telah berakar umbi, sekaligus memerlukan tindakan berterusan serta iltizam politik yang kukuh.
“Rasuah bukan sahaja endemik, tetapi bersifat sistemik. Ia memerlukan usaha yang besar,” katanya sambil menambah bahawa agensi penguatkuasaan mesti dibenarkan menjalankan tugas tanpa campur tangan.
Perdana Menteri berkata, siasatan sering mengundang kritikan atau tentangan, khususnya apabila melibatkan individu berprofil tinggi atau operasi berskala besar, namun menegaskan pendirian kerajaan adalah jelas.
“Setiap kali kita mengambil tindakan terhadap pemimpin besar atau kes besar, akan ada suara yang mempersoalkan keputusan itu, tetapi keputusannya jelas, siasatan mesti diteruskan,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan amalan kartel dalam tender perolehan tentera.
Pada 23 Disember, pegawai SPRM telah mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan sebagai sebahagian daripada siasatan yang memfokuskan projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka.
SPRM telah menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel tender perolehan berkaitan projek tentera.
Agensi antirasuah itu juga telah menahan seorang bekas Panglima Tentera Darat Malaysia, dua isterinya serta beberapa individu lain sebagai sebahagian daripada siasatan sama terhadap dakwaan rasuah melibatkan tender perolehan pertahanan.
Anwar berkata, agensi penguatkuasaan seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan badan kawal selia lain mesti terus memantau serta bertindak tegas, walaupun siasatan berkenaan bersifat sensitif dan berskala besar. – MalaysiaGazette


