IPOH – Sebuah kereta yang hilang kawalan dari arah sama dipercayai punca bas persiaran terbalik di KM265 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan sekitar jam 7.20 pagi, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta jenis Honda Accord dipandu lelaki berumur 44 tahun yang memandu dari utara ke selatan tanah air dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bas.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan telah memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri lalu melanggar sisi kanan belakang bas.
“Kereta tersebut kemudian berpusing 360 darjah dan sekali lagi melanggar bahagian hadapan kanan bas mengakibatkannya terbabas memasuki longkang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurut beliau, susulan dari kejadian tersebut, 39 penumpang berusia sembilan hingga 80 tahun telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Klinik Kesihatan Greentown bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“21 mangsa yang mengalami kecederaan parah dan ringan telah dibawa mendapatkan rawatan manakala 20 orang lagi termasuk kedua-dua pemandu bas dan kereta tidak mengalami kecederaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran, untuk membantu siasatan” ujarnya – MG Perak.
Artikel Berkaitan: