TAPAH – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai di Batu 13 Jalan Tapah – Cameron Highlands dekat sini, sebagaimana dalam video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sewaktu cuaca hujan lebat sekitar jam 10.30 malam pada Ahad.
Kata beliau, seorang lelaki berusia 49 tahun sedang memandu sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tanjung Malim.
“Ketika sampai di tempat kejadian kenderaan dipandu telah hilang kawalan kerana terlanggar takungan air (lopak air di jalan raya). Kereta terbabit telah terbabas sebelum terjatuh ke dalam sungai di tepi jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Tapah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Johari berkata, justeru polis membuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Polis Tapah, Siti Baizura Tahir di talian 017-3795202.
“Pihak polis menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah dan mengamalkan sikap bersabar di jalan raya, agar dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video pendek berdurasi 39 saat memaparkan sebuah kereta berada di dalam kawasan sungai berbatu di Jalan Persekutuan dari Tapah menuju ke Cameron Highlands. – MG Perak
Artikel Berkaitan: