IPOH – Projek Membaik Pulih Jambatan Jalan Tun Abdul Razak di sini, dilanjutkan selama sebulan daripada tarikh asal 6 Januari kepada 6 Februari depan, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja serta keselamatan pengguna jalan raya.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor.
Beliau berkata, antaranya keperluan penyelarasan awal, khususnya bagi memberi ruang kepada sambutan Perayaan Deepavali memandangkan skop kerja melibatkan pembukaan dan perobohan struktur asal jambatan yang memberi kesan langsung kepada pergerakan trafik serta aktiviti masyarakat setempat.
Tambahnya, faktor cuaca turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan apabila hujan lebat tidak menentu yang bermula sejak November hingga Disember tahun lalu menyebabkan kerja-kerja di tapak kerap tertangguh.
“MBI sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, kualiti pembinaan dan pematuhan kepada spesifikasi teknikal, justeru kerja tidak dapat diteruskan dalam keadaan cuaca yang berisiko,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zamakhshari berkata, MBI mengambil maklum keperluan pengguna jambatan berkenaan sempena sambutan Perayaan Thaipusam yang melibatkan perarakan Kavadi dan kunjungan individu bagi tujuan keagamaan.
“Sehubungan itu, laluan jambatan tersebut dibenarkan untuk digunakan khusus bagi perayaan berkenaan bermula 28 Januari hingga 2 Februari 2026, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pelanjutan tempoh projek berkenaan adalah langkah perlu dan bertanggungjawab demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, kualiti kerja pembinaan serta kepentingan jangka panjang pembangunan bandar raya Ipoh.
“Kita akan terus melaksanakan segala usaha bagi meminimumkan gangguan kepada orang awam sepanjang tempoh kerja berlangsung.
“Selain itu, MBI ingin merakamkan penghargaan atas kerjasama, kesabaran dan sokongan orang ramai bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan dengan selamat, teratur dan memberi manfaat berterusan kepada warga Ipoh,” katanya.
Jambatan itu ditutup sejak Oktober tahun lalu melibatkan Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tun Perak dan Jalan Persiaran Kidd bagi tujuan kerja penyelenggaraan supaya struktur jambatan kekal selamat, stabil serta mematuhi piawaian teknikal semasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


