Kerja roboh surau sudah dapat kebenaran Jawatankuasa Fatwa Negeri

1410

IPOH – Isu merobohkan Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat dekat Pasir Puteh di sini tidak perlu dipanjangkan kerana ia sudah mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, isu berkenaan sepatutnya selesai kerana sudah ada keputusan fatwa yang membenarkan surau itu dirobohkan dan diganti dengan surau baharu.

“Surau baharu sudah pun dibangunkan dan kelengkapan surau turut disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Sepatutnya, masyarakat setempat perlulah berlapang dada untuk pindah ke surau baharu,” jawabnya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, JAIPk bersama agensi dan jabatan terlibat sudah mengadakan beberapa pertemuan bersama penduduk bagi membincangkan isu tersebut.

Bagaimanapun katanya, kariah surau masih berkeras untuk tidak membenarkan kerja pengosongan dan meroboh surau dilaksanakan oleh pihak pemaju.

“Saya dimaklumkan, pemaju telah pun mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan isu itu,” jelasnya.

Pagi tadi, lebih 100 penduduk Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, di sini, memprotes tindakan pemaju yang hadir untuk melaksanakan kerja-kerja pengosongan dan merobohkan Surau Al-Karamah yang sudah lebih 40 tahun bertapak di kampung berkenaan.

Penduduk kampung, kariah dan jawatankuasa surau mula berkumpul sekitar jam 9 pagi dan suasana mula menjadi kecoh dengan kehadiran wakil pemaju dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kemudiannya bertindak memotong bekalan elektrik di surau tersebut.

Anggota polis turut hadir bagi mengawal situasi di kawasan berkenaan supaya bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku.

Bagaimanapun, keadaan mula reda selepas wakil pemaju dan penduduk terlibat mula beredar dari kawasan pekarangan surau pada jam 11.30 pagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penduduk protes roboh Surau Al-Karamah

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini