Kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan ditandingi UMNO jika PRK

KUALA KANGSAR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal ditandingi parti berkenaan jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerusi tersebut akan dipertahankan parti itu seperti di dalam pilihan raya sebelum ini.

“Janganlah risau soal kerusi Parlimen Kuala Kangsar kalau ada PRK pun memang saya hendak bagi UMNO bertanding jadi bekerjasamalah yang ada di atas pentas dan di bawah pentas.

“Saya sentiasa ingatkan diri jangan ingat kita boleh duduk atas pentas ini kalau tidak ada sokongan daripada yang bawah dan yang atas kena menyantuni yang di bawah, yang bawah kena menghormati yang di atas.

“Kukuhkan parti sekarang ini, jangan berbeza pendapat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut memberi jaminan keutamaan akan diberi kepada anak tempatan sebagai calon yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, calon-calon yang akan dipilih mesti memastikan kawasan yang tewas pada PRU sebelumnya kembali dirampas.

“Ya di Kuala Kangsar ini dahulu Ahli-ahli parlimennya orang luar Kuala Kangsar seperti Rafidah Aziz dan saya tak nak sebut siapa-siapa selepas itu. Kalau kali ini anak Kuala Kangsar, orang UMNO tak menang juga aku humban kamu.

“Oleh itu janji dengan saya kalau saya letak orang UMNO, calon itu wajib menang dalam Pilihan Raya Parlimen dan DUN,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat meletakkan calon jika berlaku PRK Parlimen Kuala Kangsar dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari kerana berdasarkan rekod lalu, parti tersebut bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan hasrat itu ingin diteruskan.

Untuk rekod pada PRU15, Iskandar Dzulkarnain menang di Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Maslin Sham yang memperoleh 10,814 undi diikuti calon PH, Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

UMNO tolak kerjasama dengan Pas selagi Hadi Presiden

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI