IPOH – Dua rakan dipenjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit Teluk Intan, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas tertuduh, Wong Mun Fai dan Tan Chun How masing-masing berusia 33 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas beliau mempertimbangkan rayuan mitigasi peguam dan hujahan daripada pihak pendakwaan.
Kedua-dua mereka sebelum ini didakwa di bawah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun menukar pengakuan kepada bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 15 November 2018.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Heng Wei Yong, 21, di laluan masuk ladang kelapa sawit berhampiran tiang elektrik di Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan antara jam 12.05 dan 12.30 tengah malam, 15 November 2018.
Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh, Wong diwakili peguam Amrick Singh Sandu dan Datuk Naran Singh serta Tan diwakili peguam V Santhiran.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada kedua-dua tertuduh dari tarikh tangkap kerana pengakuan bersalah mereka telah menjimatkan masa mahkamah.
Menurut pihak pembelaan, kedua-dua tertuduh pertama kali melakukan kesalahan dan telah menyesal serta berjanji tidak akan melanggar undang-undang pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Nasrul Hadi memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan kematian.
Katanya, hukuman itu perlu mengambil kira fakta kes, bagaimana kejadian berlaku, keterangan impak keluarga mangsa, umur mangsa ketika kejadian dan peralatan yang digunakan.
Beliau berkata, kejadian itu menunjukkan tindakan kejam apabila mangsa dibakar sekali gus menggambarkan tiada keinsafan daripada kedua-dua tertuduh apabila cuba menghapuskan mangsa.
Sebelum ini, media melaporkan satu mayat ditemui rentung di dalam sebuah kereta di ladang kelapa sawit di Kampung Banjar, Teluk Intan pada 15 November 2018. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penoreh getah mengaku bersalah cedera lelaki guna pisau


