Bunuh mak nyah: Pemandu lori didakwa

IPOH – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki, minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas M I Saravanan, 32, dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian mangsa yang dikenali dengan nama Fendi.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di lorong tepi bangunan sebuah hotel di Jalan Horley, di sini pada 27 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati akan dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya S Nishaalini tidak menawarkan jaminan, manakala tertuduh diwakili peguam, S Vinesh.

Terdahulu, Nishaalini memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, laporan patologi, laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV).

Vinesh pula meminta supaya prosiding mahkamah dilakukan secepat mungkin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, mayat seorang mak nyah dipercayai dibunuh ditemui di lorong berdekatan Jalan Horley, Kampung Jawa di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, kejadian disedari apabila seorang pekerja hotel memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuan seorang lelaki lengkap berpakaian dan terbaring tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan serius di bahagian kepala dan belakang badan.

Katanya, siasatan lanjut ke atas rakaman CCTV menunjukkan mangsa dikejar oleh sebuah lori bonded warna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek pada jam 4.24 pagi.

Tambahnya, mangsa kemudiannya jatuh di hadapan kenderaan tersebut sebelum digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki direman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh mak nyah 

Maut digilis lori, mak nyah dipercayai dibunuh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI