Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek berkhidmat lima tahun sebagai polis

IPOH – Polis Perak memaklumkan anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai anggota polis berpangkat lans koperal.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu berkhidmat di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim.

“Saya mengesahkan subjek yang melakukan kes ini setakat yang disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang itu, diperlakukan oleh seorang anggota daripada Balai Polis Slim River.

“Dan lelaki itu telah pun menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian. Apabila kita siasat ke lokasi kejadian terbabit adalah di Selangor. Sehubungan itu, kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuka oleh Polis Kontinjen Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Lencana Jawatan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, dekat sini, pada Selasa.

Majlis disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Kes bunuh Nur Farah Kartini Suspek berkhidmat lima tahun sebagai polis perak selangor azizi
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak antara Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dengan Datuk Azizi Mat Aris di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 JULAI 2024.

Dalam pada itu Azizi memberitahu, tindakan segera yang diambil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim selepas menerima laporan kehilangan mangsa sebelum ini harus dipuji.

Katanya, susulan daripada itu pihak polis telah membuat hebahan KEP Orang Hilang termasuk mengedarkan maklumat kehilangan dan gambar mangsa melalui media secara serta-merta.

“Susulan itu, subjek sudah pun ditangkap dan direman oleh pihak polis Kontinjen Selangor.

“Justeru, Kontinjen Selangor akan lebih memperincikan hasil siasatan itu kerana kematian mangsa itu berlaku di Selangor, manakala kehilangan berlaku di Perak,” ujarnya.

Pagi tadi, media melaporkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan penemuan mayat mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Nur Farah Kartini, 25, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati pada petang Isnin.

Mayat mangsa ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor, pada 6 petang, sebelum polis menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 26 tahun.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak itu juga merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suspek kes kematian Nur Farah Kartini direman 7 hari

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI