Kes dadah: Ahli perniagaan diarah bela diri, isteri lepas bebas

IPOH – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan seorang ahli perniagaan untuk membela diri atas pertuduhan mengedar dadah lima tahun lalu, sementara isteri dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu terhadap Mohinder Singh Gurdial Singh, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie pada keputusan di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 28 dan 29 Ogos ini untuk tertuduh membela diri selain empat orang saksi akan dipanggil.

Peguam tertuduh, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memberitahu kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Selain Wan Azman, tertuduh turut diwakili Effa Azwin Aidrul Hisham dan Hartrisha Kaur Sandhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said dan Liyana Zawani Mohd. Radzi.

Pada masa sama, Abdul Wahab membuat keputusan melepas dan membebaskan G Permala, 54, tanpa dipanggil membela diri.

Menurut beliau, ia dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan suri rumah itu mempunyai niat bersama melakukan kesalahan berkenaan.

“Bersandarkan keterangan, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan tertuduh kedua (Permala) melakukan dengan niat bersama (dalam kes ini), bahawa dadah dalam beg tersebut tidak pernah ada pemilikannya.

“Tidak dapat bukti dikemukakan yang boleh merumuskan bahawa terdapat perbuatan tertuduh kedua dengan niat disokong kesalahan tertuduh,” katanya ketika membacakan hujah penghakiman, pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, Mohinder dan Permala didakwa mengedar dadah jenis Heroin dan Monoacetylmorphine pada jam 6.25 petang di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor dalam Daerah Kinta, 22 November 2019.

Mohinder didakwa mengedar 0.24 kilogram (kg) Heroin dan 1.08 kg Monoacetylmorphine yang mana kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 165 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dia juga didakwa bagi pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 kerana memiliki 60.55 kilogram (kg) serbuk kafein, 93 mililiter cecair kafein dan 10.74kg chloroquine.

Selain itu, Mohinder turut didakwa bersama isterinya di bawah Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah berbahaya seberat 524.1 gram iaitu 38.7 gram Heroin dan 485.4 gram Monoacetylmorphine. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penganggur didakwa edar dadah 9.2 kg

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI