Kenderaan menteri ekori ambulans: Pejabat TPR pulang semula kertas siasatan

IPOH – Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Perak akan memulangkan semula kertas siasatan kes membabitkan kenderaan rasmi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang mengekori rapat ambulans dalam kecemasan, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan itu sudah dihantar kembali kepada pejabat TPR Perak dari Pejabat Peguam Negara dan akan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat berserta keputusan kes daripada pihak TPR.

“Sebelum ini, kertas siasatan kes membabitkan kenderaan rasmi Kor Ming mengekori rapat ambulans dalam kecemasan sudah dilengkapkan dan dihantar ke pejabat TPR pada 28 Februari lalu.

“Antara pertuduhan yang dicadangkan kepada TPR adalah kesalahan mengekori ambulan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987; Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Kaedah 9(2) LN.166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan ambulans.

“Turut dicadangkan kesalahan lampu hazard di bawah Seksyen 79(2) APJ 1987 dan kesalahan mengeluarkan lampu merah dan mengeluarkan bunyi siren di bawah Kaedah 24 dan 138 LN.170/59,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Polis ke-217 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Pada 3 Februari lalu, tular di media sosial tindakan sebuah kenderaan rasmi menteri mengekori rapat sebuah ambulans yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke lokasi kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, Perak. – MG Perak

Isu tular: Polis sahkan kenderaan milik menteri

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI