IPOH – Polis menahan tiga lagi individu disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki maut ditetak di kawasan Buntong malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 28 hingga 34 tahun itu ditahan di Pasar Awam Buntong sekitar jam 5.30 petang semalam.
“Setakat ini, pihak polis telah membuat tangkapan melibatkan tiga orang suspek dan permohonan reman dibenarkan selama dua hari mulai Rabu hingga esok,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, semalam seorang suspek berusia 23 tahun telah ditahan dan dkreman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kedua-dua rakan mangsa yang cedera dalam pergaduhan itu masih menerima rawatan di hospital.
“Keadaan kedua-dua mangsa terbabit berada dalam keadaan stabil tapi masih lemah,“ ujarnya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditetak menggunakan parang dalam satu kejadian pergaduhan di kawasan Buntong di sini, pada Isnin.
Muhammad Najib dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung satu pergaduhan kira-kira jam 11.10 malam sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.
Semalam Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, kejadian pergaduhan itu dipercayai disebabkan oleh perselisihan antara kumpulan dan tidak melibatkan unsur perkauman. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes lelaki maut ditetak: Perselisihan antara kumpulan disyaki punca, tiada unsur perkauman


