KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa media melaporkan kejadian rogol libatkan pelajar di Melaka secara beretika dan bertanggungjawab, tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pengamal media juga diingatkan tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti, selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
“MCMC memandang serius laporan sebaran rakaman video kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Melaka.
“Orang ramai turut diingatkan bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.
Tambah kenyataan itu, MCMC sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan daripada platform media sosial.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol bergilir-gilir empat pelajar seniornya dalam kejadian pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lepas, dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.
Lebih menjijikkan, perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.
Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.
Susulan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan direman enam hari hingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan. – MalaysiaGazette