Kes rogol: Pembantu rumah Paul Yong beri keterangan palsu

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu, diberitahu bahawa bekas pembantu rumah kepada Paul Yong Choo Kiong membuat kenyataan palsu berhubung kes rogol ke atas dirinya oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu pada pada 2019.

Peguam dari Indonesia, Pathurrahman, 58, berkata, perkara itu dimaklumkan wanita itu ketika datang ke pejabatnya di Sumbawa, di Nusa Tenggara Barat pada 20 Mei tahun lalu.

Beliau yang juga merupakan saksi pembelaan tambahan berkata, bekas pembantu rumah yang berusia 24 tahun itu memaklumkan kepadanya bahawa wanita itu bertindak demikian kerana mahu pulang ke kampung halaman di Indonesia.

Kata beliau, wanita yang telah terikat kontrak kerja selama tiga tahun dan telah bekerja di rumah keluarga Paul Yong bermula 7 Mei 2019 dan sepatutnya tamat perkhidmatan pada Mei 2021.

Kes rogol Pembantu rumah Paul Yong beri keterangan palsu bekas wanita Pathurrahman mahkamah
Saksi pembelaan tambahan dari Indonesia, Pathurrahman, 58, hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu, berhubung sabitan kes Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang merogol pembantu rumahnya pada 2019. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 FEBRUARI 2025.

Bekas pembantu rumah itu berhasrat untuk menamatkan kontraknya lebih awal daripada tarikh tamat, namun telah dihalang keluarga bekas Exco Kerajaan Perak itu.

“Wanita itu membuat pengakuan kepada saya bahawa beliau telah memberi keterangan palsu terhadap Paul Yong dan kini berhasrat untuk menarik balik keterangan tersebut.

“Dan alasan beliau membuat atau memberi keterangan palsu itu adalah kerana beliau hendak pulang ke rumahnya di Indonesia.

“Saya telah menasihatkan bahawa memberi satu keterangan yang palsu merupakan satu kesalahan yang serius.

“Saya selanjutnya telah menasihatkan bahawa beliau berhak untuk menari balik keterangannya di mahkamah dan adalah lebih baik bercakap benar daripada seseorang yang tidak bersalah disabitkan kesalahan secara tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan bertulis yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Indonesia di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed, pada Rabu.

Tambah Pathurrahman, wanita itu melahirkan rasa kesal dan kemudiannya meminta beliau untuk menyediakan surat pernyataan atau pengakuan berkenaan hal itu bertarikh 21 Mei 2024, dan disahkan notari awam, Hilman, di Sumbawa.

Surat yang dibacakan pada prosiding dalam bahasa Indonesia itu antara lain dinyatakan: “Setelah saya berkonsultasi dengan pengacara saya Bapak Pathurrahman tentang keinginan saya untuk mencabut keterangan sebelumnya, pengacara saya mendukung dan memberi nasihat bahwa mencabut keterangan adalah hak setiap orang.

“”Berdasarkan hal-hal yang terurai di atas, dengan kesedaran penuh dan tanpa paksaan atau intimidasi daripada pihak manapun, (saya) dengan ini mencabut keterangan yang pernah saya sampaikan di pengadilan Mahkamah Sesyen Malaysia tentang pemerkosaan yang dilakukan oleh Yong Choo Kiong sekali gus menyatakan segala keterangan yang saya berikan tidak berlaku dan tidak dapat dipergunakan untuk menuntut atau melawan Yong Choo Kiong,” menurut penyataan bekas pembantu rumah itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh untuk menyediakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan.

Laporan itu kemudian akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan bagi digunakan ketika rayuan.

Pasukan pembelaan diwakili peguam-peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Low Wei Loke.

Sementara pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah.

Pada 12 November lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal yang bersidang bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah membenarkan bekas ADUN Tronoh itu untuk memasukkan bukti baharu membabitkan kes rogol pembantu rumahnya.

Panel tiga hakim itu memutuskan demikian selepas mendapati terdapat unsur menunjukkan mangsa memberikan keterangan palsu pada perbicaraan kes itu sebelum ini.

Susulan keputusan tersebut, pendengaran rayuan akhir Paul Yong yang sepatutnya didengar pada 25 November 2024 ditangguhkan dan mahkamah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 November lalu.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Paul Yong namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun. Hukuman sebat dua kali dikekalkan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Paul Yong mohon kemuka bukti baharu ketepi sabitan rogol pembantu rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI