Kes Tikam: Mangsa aktif bersukan, berdisiplin – Ibu

KUALA LUMPUR – Ibu kepada pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selasa lepas menyifatkan anak bongsunya sebagai seorang yang pendiam, aktif dalam sukan dan mempunyai disiplin yang tinggi.

Wong Lee Ping berkata sebelum kejadian menyayat hati yang meragut nyawa anaknya itu, mendiang berjaya mendapat tempat kedua dalam kejohanan badminton yang berlangsung di ibu kota.

“Dia (mendiang) seorang yang berdispilin, aktif bersukan walaupun introvert, dia pandai menyusun jadual dan program-program yang dia perlu dihadiri.

“Dia juga menghormati kami sebagai ibu bapa dan orang lain,” katanya pada sidang media di Nirvana Center Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di pekarangan sekolah kira-kira 9.30 pagi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Wong dalam pada itu merayu orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak benar melalui media sosial berhubung kes terbabit selain berharap nasib menimpa anaknya itu tidak berulang di mana-mana sekolah pada masa hadapan.

Dia turut berharap orang ramai tidak mengubah suai poster jemputan kod respons pantas (QR) yang dikongsi untuk tujuan sumbangan dan sesiapa yang ingin menderma boleh hadir ke Nirvana Center.

Mayat mendiang dijangka disemadikan Isnin ini.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI