Kes wanita mati diklasifikasi bunuh, anak lelaki direman

IPOH – Polis mengklasifikasikan semula kes seorang wanita warga emas yang ditemui maut dalam keadaan muka berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Mujur pada Rabu lalu sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan semula susulan laporan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat wanita berusia 60 tahun itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 9.15 pagi semalam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB mendapati mangsa maut akibat kecederaan di kepala dan leher akibat objek tumpul, ” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, anak lelaki mangsa berusia 36 tahun ditahan pada hari kejadian untuk siasatan lanjut dan direman selama tiga hari sehingga Sabtu.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 11 rekod pelbagai kesalahan jenayah dan lapan rekod bersabit kes dadah.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-250 0019 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isteri maut dipukul, ditikam suami depan anak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI