KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi petugas kesihatan yang bekerja secara syif diyakini mampu meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) Saaidah Athman berkata, pihaknya menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai manifestasi keprihatinan kepimpinan negara terhadap kebajikan penjawat awam dalam sektor kesihatan.
“Saya mewakili seluruh ahli MNU merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Menteri Kesihatan atas keputusan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja hanya 42 jam seminggu.
Pengecualian itu melibatkan seramai 82,637 petugas barisan hadapan, merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan.
Menurut Saaidah, MNU telah membangkitkan kebimbangan mengenai isu waktu kerja 45 jam sejak November tahun lalu menerusi pelbagai sesi perundingan dengan KKM termasuk pertemuan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Kami telah menyampaikan semua pandangan dan harapan ahli bagi memastikan keputusan terbaik dapat dicapai,” katanya.
Sebagai langkah seterusnya, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula struktur gaji dan elaun petugas kesihatan serta mempertimbangkan penambahan jawatan kritikal bagi memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan negara. – BERNAMA